Pembalakan, buka ladang punca belia Orang Asli hijrah ke bandar

Pembalakan, buka ladang punca belia Orang Asli hijrah ke bandar

BELIA Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan berharap banyak peluang pekerjaan disediakan kepada mereka. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pembalakan dan pembukaan ladang didakwa menjadi punca ramai golongan belia Orang Asli di Pos Tohoi di sini, membuat keputusan berhijrah ke kawasan bandar bagi mencari pekerjaan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Jenny Adik, 35, mendakwa, situasi itu menyebabkan golongan belia berdepan kesukaran mencari rotan dan hasil hutan.

Katanya, dianggarkan lebih 50 belia berhijrah bekerja di kawasan luar dalam tempoh setahun.

“Kami berharap kerajaan membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada Orang Asli terutama golongan belia yang baru tamat persekolahan,” katanya ketika di sini, semalam.

Dalam pada itu, seorang belia Orang Asli Pos Tohoi, Remy Ali, 36, berkata, lebih enam bulan dia berhijrah ke Shah Alam, Selangor untuk mencari rezeki dan bekerja sebagai operator kilang bagi menampung keperluan keluarga.

“Peluang pekerjaan di kampung ini memang susah. Dahulu ramai yang bekerja menoreh getah, namun kini semakin susah kerana harga getah yang rendah.

“Ramai anak muda yang keluar mencari kerja di luar kawasan seperti di Selangor dan Kuala Lumpur kerana kami boleh menjana pendapatan lebih RM1,500 sebulan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Nizam Zainal, 27, berkata, kebanyakan masyarakat Orang Asli di kawasan itu masih hidup mundur kerana tiada punca pendapatan tetap.

Katanya, penduduk Orang Asli mengharapkan upah buat kerja kampung secara harian atau mingguan dan selepas itu hidup dalam kesusahan apabila wang belanja habis.

“Saya mengakui memang ada masyarakat kami bekerja di kawasan ladang tetapi bilangannya amat kecil dan diberi upah pula dengan kadar yang tidak setimpal dengan pekerjaan.

“Kami berharap pihak kerajaan membantu mewujudkan peluang pekerjaan selepas kami berpindah ke penempatan baharu di Kampung Kuala Yai kerana Pos Tohoi terlibat dengan Projek Hidroelektrik Nenggiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×