SEMALAM, umat Islam di Malaysia menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW, insan mulia yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Tema sambutan peringkat kebangsaan tahun ini adalah ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.
Antara program yang popular adalah perarakan, ceramah ataupun forum. Semuanya dengan satu matlamat, menyemai cinta dan kasih kepada insan mulia Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab ini.
Ahli sejarah berselisih tentang tarikh Nabi Muhammad diputerakan di Mekah. Ada berpendapat baginda dilahirkan pada 8 Rabiulawal; 9 Rabiulawal dan 12 Rabiulawal. Antara yang masyhur, 12 Rabiulawal.
Cuma yang pasti, baginda dilahirkan pada Isnin bulan Rabiulawal, iaitu 20 April 571 Masihi. Ibu baginda, Aminah binti Wahb adalah anak perempuan Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah.
Ayahnya, Abdullah, ialah anak Abdul Mutalib. Keturunannya bersusur galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan ke-40.
Ayahnya meninggal sebelum kelahiran baginda. Ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya anak yatim piatu.
Malangnya, tidak ramai dalam kalangan kita yang benar-benar menghayati sirah baginda SAW. Seterusnya menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.
Tentang menyambut Maulid Nabi, dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 11 Disember 2016 iaitu Hukum Menyambut Maulid Al-Rasul, dinyatakan sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bidaah hasanah (bidaah: perkara tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW; hasanah: hukumnya baik).
Syarat utama, sambutannya mengandungi pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah, tiada percampuran lelaki dan perempuan, menutup aurat dan tiada unsur maksiat.
Ia turut disokong oleh fatwa berkenaan larangan membidaahkan sambutan Maulid Nabi SAW. Fatwa tersebut diputuskan antaranya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 25 Mei 2012 dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 22 April 2015.
Setiap orang Islam wajib mencontohi keperibadian baginda selain amalan dan sunnah-sunnah Nabi SAW. Ini selain ibadat fardu ain yang wajib ke atas setiap mukalaf.
Terdapat tujuh amalan baginda SAW yang patut kita contohi.
SENTIASA JAGA WUDUK
Keutamaan wuduk adalah terhapusnya dosa. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: Apabila seseorang muslim atau mukmin mengambil wuduk, lalu dia membasuh wajahnya, maka keluarlah daripada wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air terakhir. Ketika dia membasuh kedua-dua tangannya, maka keluarlah setiap dosa yang telah dilakukan oleh tangannya itu bersama air atau bersama titisan air terakhir. Ketika dia membasuh kedua-dua belah kakinya, maka keluarlah setiap dosa yang dilangkah oleh kedua-dua kakinya bersama air atau bersama air terakhir, sehinggalah dia selesai berwuduk dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa. (Riwayat Muslim)
ISTIGHFAR SETIAP MASA
Istighfar adalah memohon keampunan Allah atas segala dosa dan kesalahan dilakukan dan berjanji kepada Allah tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
Malah Rasulullah SAW yang maksum dan dijamin masuk syurga juga beristighfar 70 dan dalam riwayat lain 100 kali sehari. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali. (Riwayat Bukhari)
BACA AL-QURAN
Membaca al-Quran adalah salah satu sunnah Nabi SAW terutamanya membaca al-Quran sebelum terbit matahari. Amat besar ganjaran bagi orang yang membaca al-Quran dan mentadabbur isi kandungannya.
Hendaklah kita jadikan al-Quran sebagai bacaan, panduan dan membudayakan al-Quran dalam setiap kehidupan seharian. Pendek kata, tiada hari tanpa baca al-Quran.
Ganjaran membaca al-Quran dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman, yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (al-Israk: 9)
SOLAT BERJEMAAH
Solat yang lebih baik adalah berjemaah di masjid. Pahala bagi yang solat berjemaah di masjid sangat besar. Pahalanya dikira pada setiap langkahnya ke masjid dan ia juga akan memperoleh pahala berjemaah sebanyak 27 pahala.
Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju ke salah satu daripada rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang telah difardukan oleh Allah, maka kedua-dua langkahan kakinya itu salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjat. (Riwayat Muslim)
SOLAT DUHA
Solat sunat duha amat dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya kerana banyak kelebihannya. Antara kelebihannya, pintu rezeki dibuka dan dimurahkan rezeki.
Waktu solat sunat duha ialah dari naik matahari sampai segalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat sunat duha adalah solat bagi orang yang mahu kembali.” Kembali ke mana? Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Solat duha itu adalah (solatul awwabin) solat orang yang kembali kepada Allah, setelah orang mulai lupa dan sibuk bekerja, iaitu pada waktu anak-anak unta mula bangun kerana mulai panas tempat pembaringannya. (Riwayat Muslim)
SOLAT TAHAJUD
Solat tahajud sebaik-baiknya dilakukan selepas bangun dari tidur iaitu satu pertiga malam iaitu dalam lingkungan pukul 3 atau 4 pagi. Ia ditunaikan sekurang-kurangnya dua rakaat.
Solat tahajud adalah peluang keemasan kepada manusia mengeratkan perhubungan dengan Allah. Selain itu, pintu langit terbuka luas untuk menerima taubat hamba-Nya.
Allah SWT turut berfirman yang bermaksud: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji. (al-Israk: 79)
SENTIASA BERSEDEKAH
Sedekah adalah mengorbankan sedikit harta untuk diberi kepada orang yang memerlukan dengan hati dan perasaan ikhlas. Bagi orang yang rajin bersedekah, Allah akan gandakan setiap sedekahnya dengan rezeki yang melimpah.
Setiap manusia sudah dijamin rezekinya oleh Allah SWT. Janganlah sesekali kita takut bersedekah kerana sedekah itu kunci kepada segala kebaikan di dalam diri. Bersedekah tidak akan sesekali menyebabkan harta seseorang itu semakin berkurangan.
Sebaliknya ia memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim)-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.











