MUKADIMAH
CALON Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, HASLIHELMY DM ZULHASLI mengakui diasak dari pelbagai sudut setelah membuat keputusan bertanding pilihan raya tersebut.
Bagi Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) itu, sejak membeli borang di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang pada 29 Ogos lalu, beliau sudah tekad dengan keputusan bertanding calon Bebas walaupun ada rintangan dan halangan.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA, Haslihelmy berkongsi hasrat, misi dan visinya bertanding PRK kawasan itu yang dijadualkan pada 7 Oktober ini.
UTUSAN: Kenapa tawar diri se bagai calon Bebas PRK Pelangai?
HASLIHELMY: Sebab utama adalah demokrasi yang perlu disuburkan. Sesiapa sahaja yang layak, boleh bertanding di mana-mana pilihan raya sekalipun. Jadi semua pihak khususnya parti-parti politik yang bertanding seharusnya menerimanya. Kedua, saya ingin memberi pilihan kepada rakyat khususnya di Pelangai, kita bercakap soal pembangunan dan masa depan rakyat Pelangai yang masih sedemikian rupa keadaannya dulu, kini serta selamanya.
Ada cubaan ungkit kisah silam saudara termasuk didakwa terlibat dengan jenayah?
Mengapa diungkit kisah lalu saya? Benar jika saya ada kisah silam, ia bukanlah menggambarkan selamanya saya sedemikian rupa. Manusia tidak lari melakukan kesalahan dan saya sentiasa berusaha untuk berubah. Bukan sahaja saya, malah ramai dalam kalangan ahli politik pada ketika ini pun bukan semuanya bersih. Tapi masih layak bertanding dan menjadi wakil rakyat.
Bagaimana penerimaan rakyat di Pelangai terhadap saudara?
Konsep kempen saya adalah dari rumah ke rumah dan dapati penerimaan rakyat di Pelangai ini baik. Maknanya, mereka boleh menerima saya sebagai calon Bebas untuk bertanding PRK kali ini. Ada juga yang mengenali saya kerana saya ada saudara mara di sini.
Komen saudara keahlian UMNO terlucut serta-merta?
Itu hakikat yang saya perlu terima apabila menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas. Saya tiada masalah, berparti atau tidak, saya tetap begini selepas ini kerana hanya ahli biasa. Saya ada NGO di bawah PSAP, tentunya saya akan terus lantang bersuara mengangkat isu-isu rakyat supaya ada tindakan dari pihak berwajib.
Apa misi, visi di Pelangai?
Kita mesti pernah mendengar kata-kata keramat diungkap oleh John F. Kennedy, ‘Jangan tanya apa negara boleh sumbang untuk kamu, tetapi tanyalah pada diri apa kamu dapat sumbangkan untuk negara.’ Jadi saya pegang kata-kata ini untuk berjuang sebagai anak tempatan bagi memastikan Pelangai tidak ketinggalan daripada arus pembangunan negara. Isu anak-anak muda di kampung-kampung tradisi dan Felda, isu jalan, lampu jalan dan bank akan terus saya perjuangkan walaupun kalah PRK kali ini.










