PETALING JAYA: Bekalan beras putih tempatan (BPT) di beberapa negeri terus ditambah bagi menampung permintan daripada pengguna.
Sebagai contoh di Perlis, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri melakukan intervensi bekalan berkenaan dengan mengedarkan sebanyak 10 tan metrik bahan makanan itu di negeri ini bermula kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah LPP negeri, Roshidah Ahmad berkata, pihaknya memesan BPT jenama Jati daripada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah.

Katanya, kumpulan pertama penghantaran beras tersebut tiba kelmarin dan sebanyak 600 kampit BPT akan dijual di Peladang Outlet (PO) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beseri.
“Baki sebanyak 400 kampit lagi akan dijual di PO PPK Padang Siding dan kita mengehadkan dua kampit beras untuk setiap pembelian,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, isu kekurangan BPT dijangka dapat diselesaikan dengan kemasukan sebanyak 700 tan metrik bekalan secara berperingkat dalam tempoh sebulan.
Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Perlis mula mengedarkan sebanyak 50 tan metrik BPT menerusi empat pengilang sebagai intervensi bagi menyediakan bekalan berkenaan.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut mendapat bekalan daripada pemborong yang dikenal pasti bagi menampung kekurangan BPT dan membawa masuk sebanyak 10 tan metrik bekalan ke negeri ini.
Tambah Roshidah, tindakan intervensi itu dilakukan susulan arahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada semua agensinya memastikan agar bekalan BPT sentiasa ada di pasaran.
“Dua premis Peladang Outlet di Perlis adalah sebahagian daripada 40 premis di bawah seliaan LPP yang terlibat secara langsung dalam Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) bagi tujuan pengedaran BPT kepada kumpulan sasar terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya, dengan menyasarkan 300 tan BPT pada harga kawalan.
Sementara itu di Terengganu pengguna di negeri berkenaan boleh mendapatkan bekalan beras di 38 outlet peruncitan FAMA di seluruh negeri berkenaan.
Pengarah FAMA negeri, Nukman Hashim berkata, pihaknya menerima sebanyak 10 tan metrik beras sebelum diedarkan di outlet peruncitan itu bagi menampung permintaan pengguna.
Menurutnya, bagi fasa kedua pula, FAMA negeri Terengganu dijangka menerima bekalan pada minggu depan.
Katanya, penjualan beras itu dilakukan secara berperingkat untuk memenuhi keperluan outlet usahawan di bawah FAMA sekali gus menjamin ketersediaan bekalan beras tempatan di pasaran.
Sementara itu, seorang peniaga Agrobazar Rakyat, Siti Asyikin Amani, berkata, dia menerima 50 kampit beras tempatan untuk dijual kepada orang ramai sejak semalam lagi.
Di Negeri Sembilan, FAMA di negeri berkenaan menempah sebanyak 110 tan metrik bekalan BPT bagi pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT di negeri ini.
Pengarahnya, Shahlan Kusaseh berkata, jumlah tersebut selepas mengambil kira jualan pertama yang diadakan baru-baru ini dilihat tidak mencukupi bagi menampung permintaan orang ramai sehingga menimbulkan rungutan di beberapa lokasi jualan.
“Buat permulaan baru-baru ini kami telah menerima sebanyak 20 tan metrik BPT.
“Selepas itu kami membuat lagi tempahan sebanyak 50 tan metrik dan semalam kami tempah lagi sebayak 60 tan metrik menjadikan kesemuanya 110 tan metrik BPT dengan kelulusan ibu pejabat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam. –UTUSAN











