Isu kelewatan lantik ketua kampung selesai

Isu kelewatan lantik ketua kampung selesai

KETUA Kampung yang menerima watikah pelantikan masing-masing dalam majlis di Kampung Gajah, Pasir Salak semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Isu kelewatan melantik pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua kampung di Daerah Kecil Kampung Gajah di sini selesai apabila 43 orang penerima watikah pelantikan ke jawatan itu.

Kesemua mereka yang terpilih ke jawatan itu menerima surat pelantikan pada satu majlis di sini semalam dan pelantikan berkuat kuasa 1 September lalu.

Berucap dalam majlis tersebut, Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd Zaki Abdul Rahman mengingatkan pelantikan itu sebagai satu tugas dan amanah yang perlu dilaksanakan sebaik yang mungkin demi rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, mereka juga perlu menjaga tingkah laku dan pertuturan selaku orang yang dipertanggungjawabkan menjaga kampung.

“Setelah dilantik, mereka kini menjadi sebahagian daripada penjawat awam maka akan terikat dengan peraturan penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, mereka yang dilantik menyatakan rasa gembira kerana perkara itu dapat diselesaikan dengan segera.

Ketua Kampung Kepala Pulau Kota, Badrul Hisham Uda berjanji akan menjalankan tugas yang diberikan dan menyifatkan jawatan itu satu amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Katanya, tumpuan beliau ialah untuk menambah baik infrastruktur di kampungnya.

“Saya berjanji akan ikut peraturan kerana kami sebahagian daripada penjawat awam dan akan menjaga kelakuan serta pertuturan bahasa, saya dipertanggungjawabkan satu amanah yang besar untuk menjaga anak buah di kampung.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjalankan tugas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah menggesa kerajaan negeri menyegerakan pelantikan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua kampung.

Setiausahanya, Mohd Shazaly Zainal Abidin berkata, ini kerana lantikan itu sudah tertangguh hampir setahun.

Menurutnya, kelewatan melantik lebih 50 ketua kampung di daerah kecil Kampung Gajah itu menjejaskan pelan pembangunan atau kemajuan komuniti setempat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini