Mahu manfaat teknologi atau dikuasai teknologi? - Utusan Malaysia

Mahu manfaat teknologi atau dikuasai teknologi?

MANUSIA mungkin terpaksa bersaing dengan kehebatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robot untuk meneruskan kehidupan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INGINKAN robot yang boleh menjadi pembantu rumah? Sebuah syarikat berpangkalan di Vancouver, Kanada mengumumkan telah mencipta robot yang mampu membuat bermacam-macam kerja rumah. Menarik bukan?

Hasil teknologi kecerdasan buatan (AI), robot dikenali sebagai Phoenix ini dijangka boleh mempelajari pelbagai kemahiran baharu dan pada masa hadapan robot sebegini bakal digunakan dalam banyak sektor pekerjaan.

Persoalannya, mampukah kebanyakan keluarga memiliki robot sedemikian jika sebilangan besar daripada kerjaya manusia sudah diambil alih oleh robot dan mesin?

Memuatkan artikel berkaitan…

Bayangkan pula kesannya kepada alam sekitar apabila penggunaan tenaga elektrik dunia semakin hari semakin meningkat. Walaupun penggunaan tenaga hijau lebih mesra alam, namun kesannya masih ada, tambahan lagi apabila kadar guna tenaga elektrik semakin tinggi.

Kita sedar kemajuan teknologi AI yang kini berkembang pesat bakal mengurangkan peluang pekerjaan manusia. Antara pekerjaan yang bakal menerima impak besar ialah sektor industri termasuk pengilangan, pertanian, peruncitan, perkhidmatan dan berkemungkinan besar turut melibatkan sektor pembinaan.

Kalau dahulu mesin direka bagi memudahkan kerja manusia, namun tidak lama lagi mesin akhirnya akan mengambil alih sebahagian besar daripada pekerjaan manusia.

Jika hal ini terjadi, dunia boleh mengalami masalah pengangguran yang tinggi dan kita akan berhadapan pelbagai masalah sosial dan ekonomi yang parah jika tidak diselia dengan baik.

Persoalannya, mampukah sistem pendidikan hari ini melatih manusia mengatasinya agar AI tidak dapat merebut peluang pekerjaan serta mempunyai daya tahan kuat dalam menghadapi segala cabaran yang tidak diduga seperti serangan pandemik Covid-19? Justeru, apakah tindakan kita demi masa depan yang lebih sejahtera?

Ini antara perkara menarik dibincangkan dalam Persidangan Jaringan Masa Depan Asia Pasifik Kesembilan, awal minggu ini di mana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diberi penghormatan menjadi tuan rumah.

Sebagai pelajar tahun pertama, saya amat bertuah dapat menimba ilmu daripada persidangan penting dihadiri pakar pelbagai bidang berkaitan dari negara-negara rantau Asia Pasifik.

Masa depan bagaimanakah yang kita impikan? Adakah kita akan akhirnya menjadi generasi yang terpaksa bersaing dengan kehebatan teknologi untuk meneruskan kehidupan?

Persoalannya adalah sama ada manusia mahu memanfaatkan teknologi atau hanya membiarkan diri dikuasai teknologi?

Universiti harus memandang ke hadapan dan melakukan perubahan kerana jika tujuan pendidikan tinggi hanya tertumpu kepada melatih tenaga kerja industri, kita akan tewas kepada robot dan mesin yang nyata lebih murah dan cekap.

Dalam ucapan-ucapan beliau, Rektor UIAM, Profesor Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak berkali-kali menekankan kepentingan melangkah ke arah menjadi universiti abad ke-21.

Kita mesti menilai semula erti pendidikan dan menginsankan pendidikan kerana universiti tanpa jiwa tidak dapat memanusiakan pelajarnya. Jiwa yang kosong akan menjadikan manusia lemah dan tiada daya tahan ketika menempuh cabaran hidup.

GHAIRAH

Universiti harus membenarkan mahasiswa belajar merentasi pelbagai disiplin ilmu agar mereka menjadi pelajar serba boleh dan berpengetahuan luas. Untuk melahirkan pemimpin yang bijak dan berwibawa, pendidikan tidak boleh sekadar tertumpu kepada teori di dewan kuliah semata-mata.

Pelajar mesti didedahkan kepada dunia sebenar dan mampu menggunakan apa yang mereka pelajari untuk menyumbang serta menyelesaikan masalah masyarakat setempat. Mahasiswa harus mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Sesebuah universiti itu belum berjaya sehingga warga universiti tersebut berjaya mentransformasikan masyarakat sekeliling mereka.

Inilah kelebihan manusia berbanding teknologi AI yang harus diangkat agar kita tidak menjadi manusia tanpa sifat prihatin dan belas kasihan kepada yang memerlukan.

Justeru, negara tidak harus mengetepikan aspek pembentukan sifat manusiawi dalam merencanakan kerangka sistem pendidikan negara. Tiada gunanya kita terlalu ghairah mengejar kemajuan material semata-mata kerana akhirnya kita terpaksa berhadapan pelbagai masalah sosial.

Alangkah baiknya jika setiap universiti berjaya memakmurkan masyarakat sekeliling mereka. Kajian dibuat oleh universiti harus mampu direalisasikan dan memberi impak positif kepada masyarakat. Itulah harapan murni yang harus diusahakan demi kesejahteraan negara.

Kita harus memulakan langkah dengan iltizam untuk menjadi ahli masyarakat berguna. Negara maju dan berteknologi tinggi tiada maknanya jika tamadun anak bangsanya runtuh.

Pengajian di universiti bukanlah sekadar untuk memastikan pelajar menghafal teks bagi memperoleh keputusan yang baik.

Malangnya, ramai juga mahasiswa dan bekas mahasiswa merungut adanya subjek-subjek mesti dipelajari sebagai tambahan kepada subjek teras di fakulti masing-masing.

Ada mendesak agar jangka masa pengajian ijazah dipendekkan dengan hanya mewajibkan mahasiswa mempelajari mata pelajaran teras. Nampaknya budaya cintakan ilmu serta kesungguhan mencari ilmu sudah semakin luntur.

Dzulkifli juga bercakap tentang pentingnya perhatian diberi kepada aspek SQ (darjah kecerdasan rohani) berbanding dahulunya aspek IQ (darjah kecerdasan otak) semata-mata.

Universiti harus melatih pelajarnya mempertingkatkan SQ yang dalam diri masing-masing melalui pengalaman, pergaulan dan interaksi bersama pelbagai lapisan masyarakat. Hal ini boleh membentuk mereka menjadi pemimpin lebih berwibawa serta mampu menyesuaikan diri serta memahami denyut nadi rakyat.

Aspek kerohanian, moral dan budaya tidak harus dipandang enteng dalam sistem pelajaran agar manusia tidak menjadi seperti robot. Kita perlu seimbangkan kembali kehidupan dalam mencari jalan keluar kepada masalah yang ada hasil kerakusan manusia selama ini.

Demi kemampanan dan kesejahteraan warga dunia, kerajaan, pihak akademik dan industri harus duduk semeja untuk merangka semula agenda ke arah kemampanan dunia. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×