Jahit stereng jana pendapatan sampingan

Jahit stereng jana pendapatan sampingan

AZMI Isenin mampu menyiapkan 25 jahitan stereng pada setiap hujung di D’ Latania, Taman Bandar Senawang, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Asas menjahit yang dipelajari daripada isterinya membantu seorang juruteknik kilang memperoleh pendapat sampingan menerusi perkhidmatan menjahit stereng kereta.

Azmi Isenin, 38, berkata, semuanya bermula dua tahun lalu apabila dia membantu menjahit stereng kereta milik seorang rakannya dan kemudian khidmat yang diberikannya itu semakin dikenali serta tular dalam media sosial TikTok.

“Saya mempelajari asas menjahit melalui isteri, Iryani Hashim, 38, yang juga seorang penjahit bantal kekabu. Saya melakukan kerja menjahit stereng kereta ini selepas waktu bekerja dan pada hujung minggu.

“Alhamdulillah kini ia menjadi kerja sampingan. Saya hanya mengambil masa setengah jam untuk menjahit satu stereng.

“Saya mampu menjahit sebanyak 25 stereng sehari pada setiap hujung minggu manakala pada hari biasa saya dapat menyiapkan jahitan 10 stereng kereta iaitu bermula pukul 6 petang hingga 10 malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di D’ Latania, Taman Bandar Senawang dekat sini.

Azmi yang mempunyai lebih 106,000 pengikut di TikTok berkata, harga yang ditawarkan bagi menjahit stereng kereta bermula dari RM130 hingga RM170 untuk jahitan biasa dengan tujuh jenis reka corak manakala balutan penuh stereng pula harganya bermula dari RM250 hingga RM290.

“Saya membuat jahitan stereng ini di hadapan rumah, pelanggan yang membuat tempahan akan menghantar kereta di sini dan saya akan menjahit.

“Kebanyakan pelanggan yang datang amat berpuas hati dan memberitahu jahitan yang saya buat kemas,” katanya yang memberitahu mula menerima tempahan luar biasa selepas videonya menjahit stereng kereta itu tular dalam TikTok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×