VIRAL video di platform media sosial mengenai kenaikan harga beras di pasaran dihasilkan netizen. Malah, video viral ini antara faktor utama kepada fenomena pembelian cemas hingga menjadikan beras Super Special Tempatan (SST) di pasaran terlihat mengalami gangguan bekalan dek permintaan terlalu mendadak. Bekalan SST menjadi kurang di pasaran kerana permintaan melebihi bekalan setelah rata-rata pelanggan terutama peniaga makanan memilih menukar kepada beras jenis ini untuk tidak mahu menanggung rugi akibat peningkatan harga beras Super Special Import (SSI).
Keadaan semasa melihat beras SST yang dikawal harganya oleh kerajaan, sekarang jauh lebih murah dan kualiti setanding SSI mengikut gred tertentu. Selama ini harga beras SSI tidak jauh bezanya malah kualiti juga lebih baik.
Namun, akibat faktor cuaca dan ekonomi dunia terutama tukaran nilai wang asing dan kejutan dari India mengenai larangan pengeksportan beras putih menyebabkan kenaikan SSI.
Impaknya, golongan B40 dan M40 acap kali tersepit dan tiada pilihan kerana hanya bekalan SSI dilihat sentiasa berada di pasaran.
Inilah rungutan sebenar masyarakat yang bergelut untuk menampung kos sara hidup kian meningkat. Kenaikan harga beras bukan isu sebenar kami ingin bincangkan. Sebenarnya kami ingin membuka mata masyarakat umum terutama netizen untuk lebih cakna dan berhati-hati sebelum memberi komen negatif yang hanya mengeruhkan keadaan sedia ada.
Video viral berkaitan kenaikan harga beras terlihat yang pencipta kandungan tersebut tidak memahami jenis-jenis beras. Perbandingan harga-harga SST dan SSI amatlah tidak adil. Malah terdapat sebahagian besar masyarakat masih tidak tahu kod-kod warna beras SST dan SSI.
Syabas dan terima kasih kepada ‘Abang KPDN Perak’ atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perak yang telah melaksanakan langkah proaktif mencipta kandungan video di platform TikTok yang jelas mendidik masyarakat mengenai jenis-jenis beras di pasaran.
Garapan penting daripada video KPDN Perak tersebut ialah beras putih tempatan berlabel warna ungu, beras putih import berlabel biru muda, beras wangi berlabel merah muda, beras istimewa seperti basmati, perang dan sebagainya warna jingga. Malah, pegawai KPDN dalam video berkenaan dengan tegas menyatakan harga kawalan untuk beras putih tempatan 10 kilogram adalah RM26 sahaja dan tidak akan mudah naik sewenang-wenangnya.
Pada pandangan kami, pihak berkuasa memang perlu lebih mengutamakan pendekatan menyediakan kandungan sebegini untuk meredakan ketegangan setiap kali timbul isu-isu panas.
Sesuai dengan peredaran semasa dan gaya hidup generasi Z yang lebih dekat dengan platform media sosial.
Sementelahan itu, masyarakat sendiri perlu cakna saluran betul untuk membuat aduan kenaikan harga barang kepada pihak berwajib, bukan berkongsi atau menyediakan kandungan video yang tidak tahu isinya sama ada berlandaskan fakta tepat atau sebaliknya.
NANAH
Kami merasakan sudah sampainya pendekatan lebih mesra generasi Z sebegini diambil peranan oleh setiap kementerian dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Dengan menyediakan kandungan video bersifat mendidik minda masyarakat dan menyebarluaskan hasrat hati kerajaan, mampu menangani masalah negara secara lokaliti.
Sekali lagi kami ingin menyampaikan hasrat hati bahawa seiring kepantasan kemajuan teknologi, kerajaan seharusnya menyediakan kandungan video untuk ringkasan langkah-langkah dijalankan dalam menangani masalah negara. Rakyat marhaen sudah muak dengan tajuk berita yang hanya menyatakan kerajaan akan mengambil masa dalam tempoh sekian waktu bagi menyelesaikan sesuatu masalah negara. Saat ini, netizen amat kehausan kandungan video yang menitikberatkan pendedahan tindakan dalam tempoh tertentu mengenai apa, bila, siapa dan bagaimana sesuatu masalah negara terlihat cuba diatasi oleh kerajaan sejajar konsep Malaysia Madani.
Ia bakal menjadi ‘terpaling viral’ dan mengasuh minda generasi masa kini, bukan semata-mata laungan konsep Malaysia Madani itu sendiri.
Alhamdulillah, Perdana Menteri telah pun menyuarakan tidak akan ada peningkatan harga beras tempatan di saluran media. Malah, beliau amat berharap rakyat dapat terus memaklumkan sendiri kepadanya mengenai ketiadaan stok beras dan agensi kerajaan terlibat turun padang serta-merta bagi memastikannya ada dan sedia untuk dibeli oleh rakyat.
Selain itu, masyarakat perlu mengukur baju di badan sendiri ketika berbelanja bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup. Galakan membeli barangan tempatan perlu direalisasikan agar perbelanjaan harian masyarakat dapat dikurangkan. Inilah hakikat perlu diterima supaya kehidupan masyarakat lebih terurus dan negara akan lebih pantas menuju kejayaan.
Akhir kata, kiasan marahkan nyamuk, kelambu dibakar perlulah dikikis dari budaya masyarakat sebelum ia menjadi nanah. Maklumat betul perlulah disampaikan kepada pihak atau agensi yang tepat agar segala jalan penyelesaian dan penguatkuasaan undang-undang dapat diambil dengan segera bagi membantu menangani masalah berlaku.
Masyarakat yang cakna tahu mengenai peranan masing-masing dan faham tentang hak-hak pengguna akan dapat mendukung pembangunan mampan dari segi sosial, ekonomi dan politik, seterusnya membawa kepada kesejahteraan negara. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.











