SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertanding di 50 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, pertambahan jumlah tersebut melibatkan kerusi yang dimenangi sebelum ini dengan kerusi Bersatu dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu ia akan dibahagikan antara PKR, DAP, dan Amanah sendiri.
“Kita akan berunding untuk bertanding di 50 kerusi. Kita akan fokus di Kelantan, begitu juga dengan Johor, Perak, Melaka kerana jumlah ADUN kita ramai di sana. Jadi tidak ada sebab mengapa kita tak boleh mendapat kerusi lebih, dan ahli parlimen kita di Selangor juga ramai.
“Sebelum ini, kita hanya bertanding di 35 kerusi, 27 di semenanjung dan lapan kerusi di Sarawak. Ini bermakna kita akan kekalkan kerusi yang lama dan kerusi Bersatu sebanyak 52 itu kita akan bahagikan dengan PKR dan DAP jika perlu,” katanya.
Pada PRU-14, Bersatu ketika di bawah PH bertanding 52 kerusi, selain PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27.
Namun pada 23 Februari lalu, Bersatu mengumumkan parti itu keluar daripada PH.
Mengulas lanjut, Khalid turut berkata, pembahagian kerusi juga mungkin akan dirunding dengan parti politik baharu lain iaitu Pejuang di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Muda di bawah pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali gus membentuk PH plus pada pilihan raya nanti.
“Sudah pasti Pejuang tidak akan dapat 52 kerusi kerana mereka parti baharu, paling kuat pun mungkin mereka akan dapat 20 kerusi. Ia bergantung kepada kerusi rundingan. Takkan kerusi Pagoh kita nak bagi kepada Pejuang?
“Cuma setakat ini tiada rundingan dan perbincangan dengan kedua-dua parti itu kerana parti mereka belum didaftarkan.Tapi kalau datang berunding dengan kita lebih awal, itu lebih baik. Sebab saya tak nafikan sumbangan Tun Mahathir kepada PH yang dilihat masih mempunyai pengikut. Dan kita juga tidak akan menang pada PRU-14 jika tanpa Tun Mahathir,” ujarnya lagi.PH takkan kerjasama dengan Bersatu
Sementara itu, Khalid berkata parti itu dan PH tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang disifatkan sebagai pengkhianat.
“Kerjasama dengan Bersatu? Tidak mungkin kerana mereka parti yang khianat kita. Ramai yang bertanya adakah rakyat masih percaya kepada PH setelah apa yang berlaku pada 2020? Saya kata masih boleh percaya kerana pengkhianat telah keluar.
“Kalau Bersatu nak bersama dengan PH, ia telah merosakkan krisis dan kredibiliti PH sendiri. Jadi, lebih baik jangan kerana apa yang kita nak adalah meletakkan calon yang rakyat yakin, benar-benar mewakili pilihan rakyat,” kata beliau.
Katanya, meskipun terdapat sumbangan diberi Bersatu ketika dalam gabungan PH dengan menarik undi Melayu, namun undian tersebut boleh beralih kepada Pejuang yang mungkin bekerjasama dengan PH pada PRU-15. – UTUSAN











