KUANTAN: Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat yang diterbitkan pada 2019 perlu ditulis semula kerana skop kandungannya terlalu luas sehingga sukar bagi pelajar dan guru memahaminya.
Selain itu, pakar sejarah, Profesor Dr. Ramlah Adam memberitahu Utusan Malaysia, terdapat banyak fakta penting diketepikan, sebaliknya fakta tentang golongan berhaluan kiri lebih ditonjolkan.
“Peranan UMNO dalam menyatukan orang Melayu dan menentang Malayan Union ‘dikelamkan’ tetapi dinaikkan golongan radikal sehingga ke zaman Lee Kuan Yew.
“Apabila ini berlaku, pelajar akan melihat peranan golongan berhaluan kiri terlalu besar dan fakta sebenar dinafikan,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ramlah berkata, dalam bab enam misalnya berkaitan komunis, ia terlalu ditonjolkan tentang asal usul dan kedatangan komunis.
“Kejayaan pasukan keselamatan tidak pula diceritakan lebih lanjut, tiba-tiba sahaja darurat ditamatkan. Berhubung komunis diceritakan 15 pertempuran yang dilalui beserta tarikh sekali.
“Sebab itu, saya cakap ada agenda bagi mengagongkan golongan berhaluan kiri dan komunis. Elemen patriotisme tidak ditonjolkan,” katanya.
Beliau berkata, dalam buku teks sebelum ini, tiada penafian tentang sumbangan golongan berhaluan kiri, tetapi mereka tidak ‘didewakan’.
“Benar golongan berhaluan kiri ini ada buat perlembagaan rakyat tetapi mereka ditolak British dan juga Raja-raja Melayu,” katanya.
Ramlah berkata, memang sukatan dan silibus mata pelajaran Sejarah tersebut sama seperti diluluskan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Bagaimanapun, dari segi penceritaan, fakta, pengolahan dan juga gambar-gambar dalam buku teks berkenaan diubah,” katanya.- UTUSAN











