KUALA TERENGGANU: Aktiviti pencerobohan ratusan bot nelayan asing di perairan Terengganu kini dikesan bertumpu di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) yang terletak sejauh lebih 100 batu nautika untuk mencuri hasil laut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, bot nelayan asing terbabit menceroboh kawasan tersebut kerana kedudukannya berdekatan sempadan pengairan negara.
Menurutnya, kawasan sempadan perairan negara itu mempunyai hasil laut yang banyak untuk dicuri dan dibawa pulang bagi memenuhi permintaan di pasaran negara mereka.
“Nelayan asing memilih kawasan tersebut untuk diceroboh kerana mereka mudah melarikan diri bersama hasil tangkapan sekiranya terdapat bot Maritim Malaysia melakukan rondaan di perairan tersebut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
Beliau memberitahu, sebanyak 382 tangkapan bot nelayan asing dilakukan di perairan negeri ini menerusi Op Naga sejak 2019 lalu dan kebanyakan bot tersebut ditangkap di sempadan perairan negara.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan bot dan hasil tangkapan nelayan asing itu pula mencecah RM450 juta.
Jelasnya, sebanyak 115 bot nelayan asing itu ditahan pada 2019, 72 bot (2020), 100 bot (2021), 45 bot (2022) dan 50 bot pada tahun ini.
“Seramai 3,570 nelayan asing termasuk 3,200 nelayan Vietnam juga ditahan dalam tempoh tersebut,” ujarnya.
Pada masa ini, Mohd. Khairulanuar memberitahu, Maritim Malaysia Terengganu mempunyai seramai 250 pegawai dan anggota dengan kekuatan aset sebanyak empat buah kapal dan lapan bot.
“Pegawai dan anggota tersebut sentiasa melakukan rondaan di perairan negeri ini untuk mengekang pencerobohan bot nelayan asing,” ujarnya.
“Usaha yang dilakukan Maritim Malaysia Terengganu ini juga untuk memastikan sumber ikan di negeri ini tidak terjejas kerana nelayan asing terbabit menggunakan pukat tunda secara rakus,” tambahnya. – UTUSAN











