Roads To Our Heritage: Jalan menuju warisan - Utusan Malaysia

Roads To Our Heritage: Jalan menuju warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini seakan ada satu gelombang yang membadai dunia muzik tanah air. Ramai yang mula menggali khazanah muzik tradisional dari Nusantara dan meletakkan elemennya dalam lagu baharu.

Mungkin yang paling menonjol ialah Monoloque sepanjang penubuhannya, Kmy Kmo dan Luca Sickta sejak mula berkolaborasi dan apa yang dilakukan Dayang Nurfaizah melalui album baharunya, Belagu.

Namun, dalam membicarakan khazanah muzik Nusantara, kita seakan lupa pada segmen muzik Borneo. Tiada siapa dapat menafikan, segmen itu antara yang paling kaya melihat kepada banyaknya etnik serta pecahan-pecahannya di Sabah dan Sarawak namun tidak ramai yang menerokanya.

Di sinilah projek Road To Our Heritage (ROTH) memainkan peranannya. Projek ini mahu mendokumentasi khazanah muzik di Sabah dan Sarawak yang selama ini hanya diketahui sebilangan kecil masyarakat.

“Pendedahan tentang muzik Sabah dan Sarawak ini orang tahu tetapi hanya sebagai tarikan pelancong. Saya fikir ia perlu lebih dikenali oleh semua rakyat Malaysia,” kata Ojie, anggota kugiran Stonebay yang terlibat dalam projek ini.

Menurut Ojie, masih ada rakyat Malaysia terutamanya dari Semenanjung Malaysia yang keliru antara Sabah dan Sarawak serta tidak mengenali secara rapat dua negeri itu dari segi budaya, malah geografinya.

Sehubungan itu, RTOH mahu memberi pendidikan menggunakan jalur muzik supaya jurang pengetahuan itu dapat dikecilkan.

Selain Stonebay, RTOH turut melibatkan dua lagi nama besar dalam industri muzik negara iaitu Estranged dan Alena Murang.

Malah, bagi memastikan sudut akademik projek ini terpelihara dan dokumentasinya dapat dilakukan dengan panduan akademik, projek ini turut melibatkan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) Fakulti Muzik UiTM, Dr. Nadia Widyawati Madzhi.

Kembara menjejak khazanah

Melalui projek ini, keempat-empat pihak yang terlibat akan menghasilkan satu dokumentari kembara enam episod yang memaparkan perjalanan mereka menemui tiga pakar muzik tradisional di Sabah dan tiga lagi di Sarawak bagi mempelajari permainan muzik dan instrumen yang digunakan.

Selain itu, Estranged, Alena dan Stonebay turut akan menghasilkan satu album masing-masing dengan memasukkan elemen muzik tradisional yang dipelajari sepanjang kembara mereka itu.

Hal ini mungkin agak baharu buat Estranged dan Stonebay memandangkan mereka memainkan muzik berasaskan rock moden selama ini, tetapi Alena yang sudah dikenali di seluruh dunia dengan instrumen sape turut teruja dengan projek ini.

Baginya, penggunaan instrumen seperti sape kini semakin mendapat sambutan apabila pelbagai pembaharuan telah dilakukan untuk menjadikannya lebih praktikal untuk digunakan.

Wakil akademia, Dr. Nadia juga berpendapat, dokumentari yang akan dihasilkan mempunyai potensi antarabangsa, terutamanya apabila ia didokumentasikan secara akademik melalui penghasilan buku atau kertas kerja kelak.

“Muzik Borneo ini tak banyak penyelidikan yang dihasilkan. Sabah dan Sarawak ada banyak etnik tetapi yang menulis tentangnya, terutamanya yang mendokumenkannya sangat kurang,” katanya.

RTOH akan menjadi projek rintis. Bermula dengan Sabah dan Sarawak, sambutannya terhadapnya akan diuji. Jika sambutan yang diterima baik, pasti ia akan diteruskan dan lebih banyak khazanah muzik tradisional tempatan dapat diteroka.

Bagi saya, perkara sebegini wajib diteruskan oleh kita sendiri. Kepelbagaian etnik dan budaya dalam negara ini perlu dimanfaatkan supaya para pemuzik tempatan dapat membentuk keunikan mereka.

Hanya perlu suntik sedikit elemen tradisional dalam muzik moden anda, automatik jadi unik. Khazanah ini tiada di luar negara.

Buat anda yang berminat untuk tahu lebih lanjut tentang projek ini, boleh ikuti perkembangannya di media sosial dengan carian kata kunci Road To Our Heritage. Ikuti, selami dan renungkan pengembaraan mereka, pasti ada sesuatu yang anda pelajari kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×