Walau bermula lewat bukan bererti dia ‘orang baharu’ yang mentah atau naif. Tanyalah dari sudut mana sekalipun pengetahuannya dalam muzik cukup menakjubkan. Namun di sebalik cerita berliku serta kisah rumit hidupnya mendorong sosok ini lambat bangkit berbanding individu lain. Justeru jika ditanya, dia punya jawapan tersendiri.
Seawal 70-an lagi dia sudah memiliki perancangan untuk berkarya dan menjadi penghibur. Tetapi tidak memberi kata putus kerana perlu membuat pilihan tepat untuk menjamin masa hadapannya. Mana satu yang perlu diutamakan sama ada kerjaya atau impian yang belum tahu hujung pangkalnya. Begitulah dilema figura ini.
Bersama Khabar Legenda, sosok terkenal pelantun irama Cinta Bandar Tasik Selatan, Mohd. Redzwan Yasin, 59, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Dwan Olan berkongsi cerita segala pengalaman pahit dan manis sepanjang kariernya bergelar artis.
“Seawal di bangku sekolah saya sudah meminati muzik. Ketika penghujung 70-an, boleh dikatakan setiap malam saya jamming bersama rakan-rakan sekampung di pangkin bawah pohon bacang berhadapan sebuah kedai runcit di kampung. Waktu itu kami layan lagu-lagu seperti Sweet Charity, Black Dog Bone, Alleycats dan seangkatan dengannya.
“Kebiasaannya kami akan jamming selepas Isyak hinggalah ke pagi. Orang tua memang tak bising sebab mereka tahu saya dan rakan-rakan hanya lepak bermain gitar. Bukannya mencuri, hisap dadah atau buat benda-benda tak elok,” ujarnya membuka bicara.

Walaupun banyak masa dihabiskan bersama rakan-rakan, namun komitmen membantu keluarga tidak diabaikan. Adakalanya dia mengambil upah menoreh getah dan melakukan kerja pendawaian elektrik di perumahan Felda sekitar Jempol dan Gemas.
Disebabkan minat yang mendalam, dia dan rakan-rakan mengumpul wang membeli peralatan muzik seperti gitar, dram dan sebagainya. Yakin dengan kebolehan yang ada, mereka mula mengambil tawaran membuat persembahan di majlis perkahwinan sekitar Kuala Pilah.
“Zaman itu setiap kenduri kahwin wajib ada band dan joget lambak. Kami pula jenis yang tak berkira. Pernah kami mula main pukul 9 malam dan habis jam 3 pagi. Janji tuan rumah okey dan beri lampu hijau.
“Biasanya awal-awal kami akan main lagu-lagu pop dan 60-an untuk hiburan orang tua dan tuan rumah. Bila dah lewat malam barulah main lagu rock. Masa itulah mat-mat rock keluar dari celah-celah semak dan pokok pisang untuk head banging.
“Di tempat saya tiada istilah rock kapak atau rock kangkang. Yang ada hanyalah rock makan tanah. Sebabnya bila mereka menari dan head banging habis debu-debu tanah naik ke muka dan masuk ke mulut. Rambut pun bertukar jadi putih. Sebab itu popular dengan istilah rock makan tanah,” katanya ketawa.

Seorang rakan yang merupakan penyampai radio datang menawarkan peluang untuk mereka merakamkan album. Namun dia dan rakan-rakan menolak kerana belum bersedia. Komitmen kerja di kampung masih diutamakan, tambahan pula kerja-kerja pendawaian elektrik di penempatan Felda yang diterimanya masih belum disempurnakan.
Semuanya berlaku secara tiba-tiba apabila diminta segera datang ke Kuala Lumpur menjalani sesi rakaman. Kata rakannya peluang ini hanya datang sekali. Setelah berbincang bersama rakan-rakan akhirnya mereka bersetuju dan menerima peluang tersebut.
“Semua kerja yang tertangguh saya minta kawan uruskan. Yang menariknya sebaik sampai di Kuala Lumpur kami terus menjalani sesi rakaman tanpa ada uji bakat. Kiranya terus jadi artislah.
“Sebelum ini bila menyanyi di majlis kenduri kahwin kami main belasah ikut sedap mulut sahaja. Tak pernah pun nak fikir pitching, tone dan sebagainya. Tapi bila masuk studio lain pula ceritanya. Perkara begini amat dititikberatkan. Akhirnya saya terpaksa masuk kelas vokal selama seminggu untuk mempelajari teknik nyanyian dengan betul,” katanya.
Album pertama kumpulan Olan mendapat sambutan luar jangkaan apabila dijual melebihi 150,000 unit. Lagu Cinta Bandar Tasik Selatan yang diangkat melalui judul albumnya serta merta menjadi hits serta berjaya mara ke pentas akhir Juara Lagu 1991.
Populariti mendadak merubah landskap kehidupan mereka, malah undangan persembahan pentas yang diterima di segenap pelosok tanah air membuktikan kumpulan ini digilai peminat.
Perjanjian yang dimeterai dengan syarikat rakaman Bunga Tanjung Production ketika itu adalah setiap satu tahun mereka perlu mengeluarkan satu album baharu.
Namun kesibukan mengadakan persembahan pentas membuatkan mereka tiada masa untuk mencipta serta berlatih lagu-lagu baharu yang bakal dirakamkan.
Hampir dua tahun menjaja lagu-lagu daripada album pertama, akhirnya mereka berkesempatan menerbitkan album kedua yang berjudul Hiasan.
Jualan album ini mencecah 100,000 unit sekali gus membuktikan mereka masih kekal relevan dan diminati. Namun yang menariknya mereka kini sudah mempunyai banyak lagu hits yang boleh diketengahkan.
Persembahan kumpulan Olan tidak pernah mengecewakan. Ribuan penonton sentiasa hadir memberikan sokongan sekali gus membuka mata pihak penganjur dan tauke-tauke funfair serata Malaysia. Mereka bersedia memberi bayaran tinggi kepada kumpulan ini.

“Tauke funfair biasalah, tetap banyak auta dan pusingnya. Walaupun show melaut dengan penonton tetapi bayaran tetap ciput. Bila ditanya, dia jawab yang penuh itu sebab ramai ‘masuk haram’ sebab mereka robohkan pagar. Alasan-alasan macam ini bukan setakat kami saja yang lalui, kebanyakan band rock masa itu pun tahu,” katanya ketawa.
Ketika merakamkan album ketiga berjudul Manisan pada 1995, genre rock sudah mula kurang diterima peminat. Waktu itu irama pop, balada dan dangdut mula menguasai pasaran muzik tanah air. Walaupun permintaan mengadakan persembahan masih ada, namun tidak serancak dahulu sehinggakan mereka ambil keputusan membawa haluan masing-masing.
“Saya meneruskan karier dan bergerak solo. Rakan-rakan lain pula ada yang menjadi freelance musician dan bermain di sekitar pub di ibu kota,” jelasnya.
Menyingkap kenangan pahit ketika bergelar artis, Dwan tidak menafikan menjadi penghibur bukanlah kerjaya yang indah dan manis sepanjang masa.
“Pernah sekali ketika persembahan di sebuah hotel di Kuala Terengganu saya hilang suara. Waktu itu saya rasa cukup kecewa dan bersalah dengan penonton. Suara hilang secara tiba-tiba sehinggakan ada lirik yang langsung tidak boleh dinyanyikan dengan baik. Puncanya kerana sepanjang perjalanan kami asyik bergelak ketawa, tidak berehat dan tidur secukupnya.
“Sebab itu saya tidak pernah berkira jika buat persembahan. Walaupun pada awalnya dijanjikan beberapa lagu dengan bayaran tertentu, namun saya akan beri lebih daripada sepatutnya. Kadang-kadang saya pelik dengan artis yang cukup berkira dengan penonton ini. Suara itu anugerah Allah. Bukan perlu keluar modal pun. Jangan berkira sangat. Kalau kita beri lebih pun tidak rugi, malah peminat akan lebih menghargai kita,” katanya mengakhiri perbualan.
Dwan masih menerima undangan persembahan pentas. Kepada yang berminat untuk menjemputnya bolehlah hubungi talian 012-3624459.










