SELEPAS lebih setahun berhadapan dengan penularan wabak Covid-19, ternyata kehadiran vaksin Pfizer-BioNTech di bumi Malaysia seakan memberi sinar baharu buat rakyat di negara ini.
Bagaimanapun dengan spekulasi yang dibangkitkan beberapa pihak membabitkan program vaksinasi ini sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai persoalan.
Menjadi antara selebriti terawal Malaysia yang sudah mendapatkan vaksin, pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin yang kini menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya Sirhan Wahab, menjawab persoalan yang mungkin dapat memberi gambaran lebih jelas mengenai vaksin yang diterimanya sejak Disember lalu.

Selepas beberapa bulan menerima vaksin Covid-19, keadaan Sasha kini?
Alhamdulillah, tidak ada kesan sampingan. Malah suami saya juga berada dalam keadaan baik sejak menerimanya pada Disember lalu. Namun kita perlu faham kesan mungkin berbeza untuk setiap individu. Daripada pemahaman saya melalui pembacaan dan bertanya kepada pakar perubatan ikutkan pengambilan vaksin ini bukanlah mengelakkan kita daripada terkena Covid-19 tetapi ia lebih kepada membantu sistem imunisasi kita. Kalau terkena virus terbabit mungkin simptom yang dialami lebih ringan.
Ada perbezaan vaksin yang diterima Sasha?
Memandangkan di UAE , program vaksinasi bermula sejak tahun lalu saya dan suami memang sudah membuat pembacaan dalam mencari informasi mengenai vaksin yang dibekalkan secara percuma di sana. Akhirnya kami memilih suntikan vaksin Sinopharm dari China.
Apa yang memberi keyakinan untuk saya sendiri memilih Sinopharm bila melihat sendiri Naib Presiden UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum turut memilih jenama vaksin yang sama. Vaksin yang diterima ini mempunyai dua kali suntikan, suntikan kedua pula dibuat selepas 21 hari selepas yang pertama.
Tujuan Shasha menjadi antara penerima awal vaksin di sana?
Selepas berkahwin memang saya sudah merancang untuk membawa anak ke Dubai tinggal bersama. Malah dalam tempoh sebelum Covid-19 menular sudah ada persediaan yang dibuat. Bagaimanpun, apa yang berlaku dalam tempoh setahun lalu bukan sesuatu yang dijangka. Hampir setahun tidak pulang memang bila mendengar mengenai vaksin yang disediakan kerajaan UAE saya fikir ini adalah peluang yang baik. Ikutkan menerima vaksin ini membuatkan saya lebih yakin untuk pulang ke Malaysia bertemu dengan ibu dan anak saya.
Ada perasaan menjadi seperti ‘tikus makmal’ ketika menjadi antara kumpulan terawal mengambil vaksin?
Tidak langsung, suami saya memang ada bertanyakan persoalan ini kepada pengamal perubatan di sana mengenai pengambil vaksin ini. Jelas mereka, tempoh percubaan vaksin ini sudah berlangsung beberapa bulan sebelum itu.
Jadi, bila ditawarkan vaksin ini kepada mereka yang sukarela saya dan suami memang sudah bersedia selain melalui pembacaan yang dilakukan vaksin jenis ini juga mempunyai tahap keberkesanan yang tinggi. Bagaimanapun menerima vaksin ini bukanlah semudah disangka. Bukan semua sukarela itu akan diberikan vaksin memandangkan ada prosedur yang perlu dijalani dahulu sebelum membolehkan mana-mana individu layak menerimanya.
Melihat pelbagai spekulasi mengenai vaksin kini apa komen Sasha?
Saya sendiri memang tidak layak untuk memberi nasihat atau keyakinan kepada mana-mana pihak untuk menerimanya. Apa yang boleh saya kongsi adalah melalui pengalaman sendiri. Banyakkan membaca selain buat pertimbangan yang betul.
Mempunyai seorang ibu berumur 74 tahun, vaksin dilihat menjadi keperluan untuk saya. Malah ibu juga sudah bersetuju akan mengambil vaksin yang disediakan kerajaan Malaysia tidak lama lagi. Macam saya katakan tadi dapatkan seberapa banyak informasi yang sahih mengenai vaksin ini.

Berada di Malaysia kini, ada perbezaan dari segi kehidupan yang dijalani?
Bila ada yang bertanya kalau sudah terima vaksin kenapa masih perlu mengenakan pelitup muka bila berada di luar. Walaupun sudah menerima vaksin tidak bermakna saya bebas menjalani kehidupan seperti sebelum ini. Masih lagi mengekalkan pemakaian pelitup muka selain tidak terlalu bebas berada di tempat awam sentiasa menjadi amalan saya sepanjang berada di Malaysia sejak beberapa bulan lalu.
Perlu difahamkan sebagai penerima vaksin bukan bermakna kita tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain. Malah kita sendiri tidak tahu jika kita pembawa virus itu kepada mereka yang belum menerima vaksin.
Bakal pulang ke UAE tidak lama lagi, apa yang boleh Shasha kongsi keadaan di sana.
Memandangkan kerajaan di sana sudah membuka ruang ekonominya seperti biasa jadi pengambilan vaksin dipandang serius. Malah dalam menggalakkan rakyat di sana mendapatkan vaksin, ada restoran yang memberikan diskaun untuk penerima vaksin. Bagaimanapun pematuhan pemakaian pelitup muka sangat penting.
Ujian harus diberikan kepada kerajaan Malaysia yang saya lihat bersungguh-sungguh memberikan informasi mengenai vaksin juga.










