PETALING JAYA: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura banyak memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi ASEAN kerana dapat menghubungkan rantau ini dengan China dan benua Eropah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pembinaan HSR adalah salah satu inisiatif ‘Belt and Road’ sebagai rangkaian penghubung antara China dan Eropah dengan Malaysia sehingga ke Singapura sudah lama dibangkitkan, tetapi tidak dilaksanakan kerana perubahan dasar dan pertukaran kerajaan.
Menurut beliau, jika perkara itu dilaksanakan ia memendekkan tempoh perjalanan sekali gus merancakkan pertumbuhan yang mampan khususnya kepada negara jika dapat direalisasikan untuk rancangan jangka panjang.
“HSR mampu memberikan satu kredit kepada Malaysia kerana mempunyai satu projek mega, malah dapat memberikan banyak manfaat kepada banyak negara sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan dan kepakaran.
“Sejauh mana ia dapat mengorak langkah ke hadapan, ia bergantung kepada kata putus untuk menyegerakan projek ini agar dapat dimuktamadkan dengan segera,” katanya.
Sebelum ini, HSR Kuala Lumpur-Singapura dilaporkan berkemungkinan akan disambung ke Bangkok, Thailand pada peringkat seterusnya atau semasa Fasa 2.
Perbincangan HSR bangkit semula ekoran lima syarikat dipercayai disenarai pendek termasuk YTL Corp, MMC Corp Bhd., Malaysian Resources Corp Bhd. (MRCB), WCT Holdings Bhd. dan Berjaya Land Bhd. (BLand) untuk meneruskan projek itu.
PROJEK
Terdahulu Malaysia dan Singapura memutuskan HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir pada 31 Disember 2020 dengan Malaysia terpaksa membayar pampasan berjumlah RM320.27 juta kepada Singapura.
Pada masa sama, Barjoyai berkata, tidak dinafikan cadangan menyambung laluan ke Bangkok merupakan kesinambungan di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’, namun perlu dilakukan secara berhati-hati kerana kebanyakkan negara berdepan kekangan untuk meneruskan jaringan kereta api meskipun pada mulanya negera-negara tersebut bersetuju.
Oleh itu, kata beliau, Malaysia perlu memfokuskan pembinaan laluan HSR ke Singapura terlebih dahulu kerana masih mempunyai laluan perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke utara yang menghubungkan ke negara Thailand.
Katanya, kerajaan tidak boleh menanggung beban pembinaan HSR sebaliknya perlu diberikan kepada pihak swasta yang sanggup menjalankan projek itu.
“HSR dilihat salah satu projek jangka panjang, tetapi bukan menjadi keutamaan buat masa kini kerana tumpuan kerajaan perlu ke arah meningkatkan Revolusi Perindustrian untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir.
“Ya kita perlu projek ini demi manfaat, tetapi mana satu keutamaan kerajaan buat masa kini. Kalau hendak diteruskan, kena beri kepada syarikat swasta untuk membinanya,” katanya. – UTUSAN











