Pentingnya badan penapis filem - Utusan Malaysia

Pentingnya badan penapis filem

IRAN sangat tegas dalam menangani penyusupan nilai-nilai yang bercanggah dengan agama dan norma budaya yang disebarkan menerusi filem. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGGAPAN keberadaan badan penapis filem dan kandungan kreatif lainnya sebagai kelangsungan pemikiran konservatif yang mengekang daya kreatif bukanlah baharu. Lebih berat lagi apabila badan penapis di pelbagai pelantar ini dilabel sebagai penyebab kemunduran dalam industri kreatif termasuk filem.

Garis agama dan budaya dianggap membantutkan penerbitan karya-karya selari dengan nilai liberal yang semakin subur dalam masyarakat. Kecenderungan melanggar nilai atau garis agama dan budaya dalam kandungan kreatif dikesan sudah lama berlaku dan kadangkala disengajakan dengan agenda tertentu.

Rencana ini semakin berleluasa pada era digital dengan percubaan demi percubaan atas nama seni dan kebebasan berekspresi. Perkara seperti itu berlaku di banyak negara dan bergantung pada ketegasan masing-masing untuk menangani masalah sedemikian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Iran misalnya menjadi negara sangat tegas dalam menangani penyusupan nilai-nilai yang bercanggah dengan agama dan norma budaya. Tidak sahaja menapis filem yang sudah dihasilkan, sebaliknya bermula di peringkat lakon layar (skrip) lagi. Ini kerana Iran tahu bagaimana sesuatu ideologi atau propaganda boleh disebar melalui filem.

Garis tapisannya ketat – propaganda Barat langsung tidak dibenarkan selain nilai-nilai yang bercanggah dengan agama. Iran mengharamkan filem dari Amerika Syarikat (AS) sejak Revolusi Iran 1979. Walaupun begitu, terdapat juga karyawan filem Iran mendukung pemikiran liberal cuba melanggar garis dianggap konservatif itu.

Akibatnya, bukan sahaja karya diharamkan malah karyawan berdepan sekatan ke luar negara. Ini membuktikan Iran sangat mengambil berat tentang pelanggaran peraturan ini. Mereka mencantasnya terlebih dahulu sebarang usaha yang mencabar kemurnian tujuan badan penapisan sebelum gerak usaha mereka menjadi umpama cacing naik ke mata.

Kerja-kerja menapis kandungan kreatif masa kini jauh lebih mencabar berbanding beberapa dekad lalu. Ketika itu, ancaman dibawa melalui filem import di pawagam bertemakan pergaulan bebas, budaya hipi selain adegan mencolok mata.

Bagaimanapun, ketika ini pelanggaran nilai itu disampaikan dengan cara sangat berseni, lembut selain penuh pesona dan pujukan. Hal-hal seperti itulah menyukarkan penapisan kerana pelanggarannya disembunyikan oleh naratif yang sememangnya amat memikat.

Malah banyak karya generasi baharu yang terpengaruh dengan pemikiran liberal itu sukar dikesan salah silap atau agendanya. Ini kerana ia secara luaran kelihatan hanya memaparkan kisah kehidupan watak tertentu dan tidak pun memuatkan adegan-adegan boleh dianggap ‘melampau’.

Karya sebegini hanya dapat diekstrak subteksnya oleh mereka yang mempunyai ketajaman membaca naratifnya.

Di sebalik pengolahan artistik itu terselit naratif untuk diketengahkan ke ruang umum. Keterpesongan demikian tidak dirasakan kecuali kepada mereka yang peka pada fenomena liberalisme agama yang menular di segenap ruang kehidupan masa kini.

Maka, mewujudkan badan penapis sahaja belum lagi menjawab pada kebimbangan masyarakat terhadap pelanggaran nilai-nilai agama dan budaya. Perkara lebih penting daripada penapis itu adalah kearifan ‘membaca’ sistem tanda atau semiotik yang tersirat dalam karya.

DAGING BABI

Kerja menapis dalam konteks hari ini bukan lagi sekadar memotong adegan tidak sesuai malah mesti memahami maksud naratif keseluruhannya. Tidak semua karya kreatif membawa nilai buruk dan mencarik agama disampaikan melalui visual atau pengucapan dialog.

Misalnya, sebaris dialog diucapkan seorang remaja Islam yang teruja untuk merasa masakan daging babi dibawa oleh kawannya bukan Islam dalam sebuah filem suatu ketika dahulu. Di sudut visual adegan itu tidak ada yang salah atau mencolok mata. Lalu apakah yang hendak dipotong?

Inilah dikatakan kuasa naratif yang melanggar garis agama bagi umat Islam. Tanpa memahami maksud tersirat mengenai liberalisme agama, karya sedemikian mungkin ditayangkan kepada umum. Peringkat seterusnya, karya seperti itu membentuk normalisasi – menjadikan suatu tidak normal sebagai normal.

Kita perlu realistik mengenai perubahan yang berlaku dan perlu ada keupayaan untuk melihat selangkah ke depan. Maka kemampuan ‘membaca’ subliminal mesej, lambang, naratif dan wacana mesti dimiliki oleh setiap mereka yang terlibat dalam hal ehwal menyekat naratif berkenaan, atau pada mereka mempunyai kuasa membanterasnya.

Ternyata cabaran didepani badan penapis masa kini tentulah jauh lebih sukar berbanding watak paderi yang menjadi penapis dalam filem Itali, Cinema Paradiso (1988). Dalam filem arahan Giuseppe Tornatore yang dianggap antara filem terbaik Itali, paderi itu hanya memotong shot-shot dari adegan difikirkan tidak selari dengan agama dan budaya.

Golongan agamawan diwakili oleh paderi dalam filem ini digambarkan menjadi benteng menyekat pelanggaran sedemikian daripada sampai kepada masyarakat. Seolah-olah merujuk filem ini, gerakan liberalisme menyasarkan golongan agamawan dan institusi agama sebagai sasaran pembantaian apabila bercakap tentang kreativiti karya dan isu seputar filem.

Walhal, hakikatnya mereka sedang menggerakkan naratif untuk membentuk agenda normalisasi dalam kalangan khalayak. Perkara itu disampaikan secara amat halus hingga khalayak tidak terasa sedang dipandu pada satu lorong pemikiran bercanggah dengan agama dan persekitaran budaya.

Oleh kerana itu, badan penapis mesti proaktif, menjangkau jauh di depan. Mereka tidak boleh bersikap pasif dan melihat semua yang teradun dengan sikap berbaik sangka. Lebih dari itu, mereka perlu memiliki ketajaman pemikiran untuk menangkap maksud ‘tidak dilihat’.

Jalan keluarnya adalah menguasai semua bidang ilmu berkaitan sosiologi dan penghayatan seni selain asas agama kukuh. Pendek kata untuk mencungkil naratif tersembunyi itu memerlukan individu yang mampu ‘membaca’ karya-karya berkenaan.

Walaupun kita mempunyai badan penapis iaitu Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) berperanan untuk menapis filem bagi tayangan di pawagam dan kandungan kreatif di stesen televisyen, amatlah tidak adil melonggokkan semua kesalahan dan kegagalan penapisan kepada LPFM.

Ini kerana tanggungjawab menyaring atau menapis nilai-nilai yang bertentangan dengan garis agama dan budaya adalah tanggungjawab semua pihak. Masyarakat juga perlu celik dan cakna tentang nilai-nilai boleh meruntuhkan tamadun bangsa kerana ia tanggungjawab semua warga yang cintakan negara, agama dan bangsanya. – UTUSAN

PENULIS ialah seorang pelukis dan penulis bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×