JASIN: Walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh bekas pengurusan untuk membuka semula Madrasah Ar-Rabbaniyah, Merlimau di sini yang ditutup sejak 2019, namun usaha itu masih belum berjaya.
Bekas pegawai madrasah yang enggan namanya didedahkan berkata, bekas pengurusan tidak berhenti berusaha untuk memulihara madrasah berkenaan dengan membuat rayuan sejak setahun lalu, termasuk merujuk kes itu kepada Jabatan Insolvensi.
Jelasnya, pelbagai pertemuan telah dilakukan antaranya bersama Jabatan Mufti Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian ditemukan.
“Usaha-usaha ini telah dibuat oleh bekas ahli jawatankuasa (AJK) termasuklah permohonan penubuhan protem committee (jawatankuasa sementara) kepada insolvensi bagi tujuan pengurusan sementara harta benda pertubuhan agar tidak rosak dan dicuri mana-mana pihak tetapi ditolak.
“Keadaan madrasah ini sangat menyedihkan apabila berlaku kerosakan harta benda dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang memecah masuk premis untuk melarikan barangan berharga. Sudah empat tahun madrasah ini menderita, tamatkanlah agar ia dapat dimanfaatkan semula oleh umat Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, tular satu klip video dalam laman sosial TikTok yang memaparkan berlaku pengabaian kitab agama dan al-Quran dibiarkan bertaburan di lantai serta tidak dijaga dipercayai berlaku di madrasah berkenaan.

Tambah bekas pegawai terlibat, disebabkan tiada pihak yang menjaga madrasah itu, ratusan kitab agama dan al-Quran kini bertaburan atas lantai.
Menurutnya, madrasah yang dibuka pada 16 September 2008 dibina atas tanah seluas 1.2 hektar manakala pembinaan bangunan pelajar, masjid serta keperluan lain dianggarkan berjumlah RM1.8 juta dibuat secara berperingkat, hasil dana lebih 100 pewakaf seluruh negara.
“Kronologi kisah sedih ini bermula hanya beberapa bulan selepas pengerusi madrasah meninggal dunia pada 2018, selepas barisan pengurusan baharu telah dibuat tanpa mengikut syarat pertubuhan sendiri.
“Disebabkan itu pertubuhan madrasah telah dibatalkan pada 2019 sehingga kini oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan bekas AJK tidak dibenarkan masuk ke premis termasuklah bagi memelihara kesucian mashaf yang ada di sana,” jelasnya. – UTUSAN











