KUALA NERUS: Usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) di Terengganu perlu menguasai kecanggihan teknologi digital dan automasi untuk terus kukuh berdaya saing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd. Husaimi Hussin berkata, untuk mencapai matlamat itu, usahawan PKS perlu memanfaatkan semua bantuan dana dan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan.
Menurutnya, PKS perlu mengikuti perubahan pantas trend teknologi yang sentiasa berkembang maju untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi perniagaan mereka.
“Kecanggihan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) misalnya memerlukan keupayaan bakat dan kemahiran pekerja dalam mengendalikan mesin-mesin yang moden untuk meningkatkan produktiviti.
“Oleh itu, sangat penting untuk usahawan PKS berhubung rapat dengan agensi kerajaan seperti Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) untuk mendapatkan maklumat berkenaan bantuan pembiayaan serta insentif dari kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika merasmikan Siri Forum Automasi dan Digitalisasi MIDF, Edisi Pantai Timur bertajuk ‘Memacu Perniagaan Melalui Pendigitalan dan Automasi – Perjalanan Bersama’ di Kuala Nerus, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, MIDF sebagai salah satu agensi di bawah MITI akan menyokong syarikat-syarikat tempatan dalam usaha pengautomasian dan digitalisasi mereka melalui penyediaan pelbagai dana.
“Dua daripada dana tersebut ialah Skim Pembiayaan Mudah bagi Automasi dan Pemodenan (SFSAM) serta Skim Pembiayaan Mudah untuk Digital dan Teknologi (SFDT).
“Dana-dana ini menyediakan pembiayaan sehingga RM20 juta untuk perbelanjaan aset (Capex) seperti bangunan komersial, mesin dan peralatan serta modal kerja, dengan kadar pembiayaan tetap serendah empat peratus setahun,” katanya.
Tambahnya lagi, untuk tahun 2023, MIDF menyasar untuk meluluskan kira-kira RM700 juta untuk syarikat Malaysia dalam perjalanan automasi dan pendigitalan mereka serta pengembangan perniagaan melalui pelbagai dana dan geran skim kadar pembiayaan rendah.
“Baru-baru ini juga, MIDF telah melancarkan sistem Kelulusan Laluan Pantas baharu yang mana PKS akan dapat memohon pembiayaan modal kerja sehingga RM150,000 pada kadar pembiayaan empat peratus tanpa sebarang cagaran dengan kelulusan bersyarat dalam tempoh tiga hari bekerja,” katanya. – UTUSAN










