Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kekal komited melaksanakan tanggungjawab sebagai amil dan entiti yang mengagihkan kutipan zakat kepada lapan asnaf.
Asnaf-asnaf tersebut adalah fakir, miskin, amil, mualaf, ar-riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, institusi zakat sering dihujani persoalan mengapa ada sesetengah pihak lebih cepat menyalurkan bantuan terutama terhadap golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Dalam isu mengapa ada pihak yang cepat membantu dan institusi zakat dilihat lambat hingga dipersoalkan netizen. Dalam persoalan ini, institusi zakat tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana tindakan semua pihak adalah dengan niat yang baik dan membantu masyarakat memerlukan.
“Dalam memperjelaskan persoalan ini masyarakat perlu faham perbezaan di antara zakat dan sedekah, zakat adalah wajib manakala sedekah adalah sunat.
“Maksudnya zakat ada kriteria yang ketat manakala sedekah ada kelonggaran mengikut landasan ibadah,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Saipolyazan berkata, contoh mudah adalah perbezaan antara solat fardu dan solat sunat.
Katanya, solat fardu wajib dalam waktu tertentu, solat sunat boleh pada bila-bila masa yang mana sama senarionya di antara zakat dan sedekah.
“Agihan zakat perlu tepat mengikut fatwa dan hanya boleh diagihkan kepada lapan golongan asnaf seperti ditetapkan dalam al-Quran,” katanya.

Jelasnya, bagi tujuan mengenal pasti asnaf secara sistematik dan konsisten, semua institusi zakat mengguna pakai pengiraan had kifayah (garis keperluan).
Setiap asnaf katanya, perlu menepati kriteria ditetapkan selaras prosedur yang digariskan berdasarkan had kifayah bagi melayakkan mendapat bantuan.
“Disebabkan wujud ramai miskin bandar termasuk golongan pengeluar zakat sebelum ini yang terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir setahun yang lalu, pihaknya menetapkan had pendapatan isi rumah yang lebih realistik bagi memastikan golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 turut boleh dibantu.
“Sebagai contoh, LZS menetapkan pendapatan seisi rumah seramai enam orang adalah sebanyak RM2,734 sebagai had kifayah. Seseorang jatuh dalam asnaf fakir jika pendapatan kurang separuh daripada had kifayah tersebut dan jika lebih separuh jatuh di bawah kategori asnaf miskin,” katanya.
SALUR ZAKAT KEPADA YANG LAYAK
Beliau menambah, masyarakat perlu memahami bahawa LZS bukan lambat membantu tetapi diamanahkan menyampaikan bantuan kepada golongan yang benar-benar layak.
Agihan zakat ujarnya, jika tidak mengikut prosedur bukan sahaja salah dari sudut undang-undang dunia, tetapi bila melanggar fatwa sudah menjadi hukum akhirat dan pihaknya tidak mahu perkara ini berlaku.
Justeru tegasnya, bagi memastikan kelayakan asnaf, institusi zakat mewujudkan prosedur sebagai panduan yang perlu dipatuhi.
“Bagi derma konsepnya berlainan kerana bukan sahaja asnaf yang lapan dibantu malah sesiapa sahaja termasuk kepada bukan Islam. Kelonggaran ini menggambarkan penderma lebih cepat di mata masyarakat secara umumnya,” katanya.
“Berbanding derma atau sedekah, ia tidak diaudit dan tidak tertakluk fatwa negeri masing-masing. Bagi institusi zakat, LZS misalnya, tertakluk kepada Jabatan Audit Negara dan juruaudit yang dilantik.
“Walaupun kita agihkan wang zakat kepada asnaf tetapi sekiranya tidak ikut garis panduan, boleh menyebabkan dapat teguran Jabatan Audit Negara.
“Dengan penjelasan ringkas ini kita tidak mahu dipandang sebagai institusi yang menyusahkan, banyak inisiatif dilakukan demi memudahkan umat Islam mendapat bantuan mengikut prosedur yang digariskan,” jelasnya.
Oleh itu katanya, semua pihak perlu sama-sama bergandingan, jangan terus melabelkan institusi tertentu tidak membantu.
Jika ada kes yang memerlukan bantuan hubungi pusat zakat negeri berkenaan atau di Selangor hubungi LZS atau hubungi Penolong Amil Kariah yang dilantik di seluruh masjid di Selangor.










