Pada raja, rakyat menaruh harapan

Pada raja, rakyat menaruh harapan

LANGKAH Yang di-Pertuan Agong mengisi lawatan 11 hari dalam Kembara Kenali Borneo adalah langkah bijak dan tepat dalam usaha kita untuk meningkatkan semula integrasi nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – FB ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA sosial beberapa hari lalu dipenuhi dengan pelbagai cerita yang dirakamkan secara peribadi oleh pelbagai pihak termasuk rakyat Sabah sendiri tentang program Kembara Kenali Borneo dari Sabah ke Sarawak.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyertai misi jelajah ini bersama kaum kerabat keluarga Seri Paduka berdua selama 11 hari yang dijadualkan dari 3 hingga 13 September ini. Kembara ini melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer melalui jalan darat Lebuh Raya Pan Borneo merentasi Sabah, Brunei dan Sarawak.

Bagai kisah dongeng (fairy tales) seperti Cinderella dan lain-lain yang pernah kita baca semasa kecil dahulu, raja dan kerabatnya yang turun menemui rakyat menjadikan raja-raja sangat dihormati dan dikagumi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan paparan gambar dan video yang dimuatnaik oleh warga Sabah misalnya, ternyata begitu mengujakan. Sepanjang laluan tersebut, kesempatan melihat sendiri wajah Seri Paduka berdua dan keluarga begitu mengujakan sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menunggu beramai-ramai konvoi diraja itu.

Lebih mengujakan hingga menitiskan air mata Raja Permaisuri Agong ialah kesediaan mereka menunggu dalam hujan hingga ke malam demi mendekati raja yang mereka hormati dan kagumi.

Suasana sambutan rakyat yang luar biasa ini perlu dilihat dari perspektif lebih luas dan penting, iaitu dari sudut integrasi nasional dan emosi rakyat yang semakin muak dengan keadaan politik negara hingga merayu agar raja-raja Melayu campur tangan dan meredakan ketegangan politik yang sudah dilihat rakyat merosakkan perpaduan serta pembangunan negara.

Secara tidak langsung, usaha Yang di-Pertuan Agong ini membolehkan Seri Paduka melihat sendiri suasana kehidupan rakyat terkini terutama di laluan pedalaman dan segala kekurangan yang perlu diisi segera oleh kerajaan memerintah.

Rakyat pasti gembira setelah melihat sendiri, Raja Permaisuri Agong mendengar dan mancatatkan keluhan rakyat tentang kemudahan jalan perhubungan yang daif. Malahan ada yang memuatnaik video jalan yang cantik ditar hanya setelah Yang di-Pertuan Agong difahamkan akan melalui kampung mereka.

Walaupun hanya beberapa minit, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menyantuni rakyat dengan singgah bermesra seketika, ia cukup membahagiakan mereka sebagai satu kenangan terindah dalam hidup penduduk Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, langkah Yang di-Pertuan Agong mengisi lawatan 11 hari dalam Kembara Kenali Borneo ini adalah langkah bijak dan tepat dalam usaha kita untuk meningkatkan semula integrasi nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dalam suasana politik semasa dalam negara dan antarabangsa, usaha merapatkan jurang dan hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak ini sangat-sangat penting supaya sebarang usaha yang boleh mencetuskan perbalahan, persepsi dan ketegangan dapat dibendung sepenuhnya.
Selain Kembara Kenali Borneo ini, kerajaan juga perlu melakukan usaha berlipat kali ganda untuk menanam nilai perpaduan dan integrasi nasional yang lebih bermakna melalui pelbagai pendekatan lain seperti jalinan ekonomi, pendidikan dan silang budaya dalam situasi sebenar.

Saya bukanlah beretorik dalam hal ini kerana pernah menjalankan sendiri pelbagai usaha di atas secara serentak sejak 2009 hingga kini. Saya bukan sahaja melakukan silang pendidikan melibatkan tenaga pengajar dan pelatih kemahiran Sabah, Sarawak dan Semenanjung, tetapi juga berkongsi rezeki perniagaan dengan mereka, membangunkan golongan miskin tegar dan bertukar budaya antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Pernah juga suatu ketika, anak-anak Sabah dan Sarawak dibawa ke Melaka dan Perak untuk ditempatkan bersama masyarakat, beramai-ramai mengikuti latihan pertanian dan kemasyarakatan selama dua tahun.

Saya juga pernah melakukan program perintis dikenali sebagai Komuniti Ekonomi RT dan Integrasi Nasional (KENAL) bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada 2016. Keberhasilannya memberi impak yang besar terhadap integrasi nasional Semenanjung, Sabah dan Sarawak tetapi tidak kesampaian untuk dilaksanakan hingga kini akibat asyik bertukar kerajaan dan pengurusan.

Namun hari ini, Yang di-Pertuan Agong sudah membuktikan bagaimana raja-raja Melayu yang berjiwa rakyat sedang ditagih oleh rakyat untuk menyantuni mereka terutama ketika rakyat semakin berasakan tekanan hidup akibat situasi ekonomi yang semakin mencabar, ditambah pula dengan suasana politik memualkan.

Kepada raja-raja Melayulah, rakyat mencari payung negara sebagai puncak harapan Malaysia dengan reset semangat baharu.-UTUSAN

Penulis ialah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×