MUKADIMAH
SEBAGAI parti yang memiliki undi asas tertinggi dalam kalangan orang Melayu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, UMNO berperanan besar memastikan semua akar umbinya memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman.
Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail mengakui, meskipun tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini, Barisan Nasional (BN) tidak boleh sekadar goyang kaki melihat pertembungan antara PH dan Perikatan Nasional (PN) di situ.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, Adnan Ibrahim, Azman menerangkan gerak kerja pasukannya dalam memastikan sokongan terus terarah kepada calon Kerajaan Perpaduan.
UTUSAN: Apa langkah awal dilakukan untuk menambat hati ahli parti?
AZMAN: UMNO Bahagian Bakri mengambil pendekatan menerangkan kepada ahli-ahli tentang apa itu Kerajaan Perpaduan dan bagaimana kerajaan ini terbentuk. Saya juga memberi keyakinan kepada ahli bahawa asas dan prinsip perjuangan UMNO seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, keistimewaan orang Melayu tetap menjadi syarat perjanjian dan tidak pernah diketepikan.
Gerak kerja BN memberikan keyakinan kepada pengundi atas pagar?
Fokus utama adalah menumpukan kepada ahli-ahli sejati UMNO dan BN kerana itu adalah kekuatan kami. Untuk pengundi atas pagar, mereka boleh melihat dan menilai sendiri parti mana lebih layak untuk dipilih. Saya yakin sekiranya mereka mahukan kestabilan dan melihat DUN Simpang Jeram ini terus terbela, sudah tentu mereka memilih parti yang sudah ada dalam Kerajaan Perpaduan agar mudah memperoleh pelbagai bantuan dan peruntukan untuk pembangunan DUN ini.
Bagaimana pula dengan pengundi muda atau pengundi automatik 18 tahun?
Untuk undi orang muda, saya serahkan kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Muaz Omar kerana saya yakin dengan cara pendekatan beliau kepada pengundi muda. Saya tahu, pengundi muda lebih mudah didekati dengan cara orang muda, apa yang penting adalah misi dan asas perjuangan kita dalam Kerajaan Perpaduan.
Apa kriteria calon yang mampu menjadi penarik kepada masyarakat Simpang Jeram?
Pada pandangan saya, yang utama adalah calon itu seharusnya anak tempatan dan memahami masalah di kawasan tersebut serta boleh menyelesaikannya dengan baik. Calon yang lahir dan membesar di DUN ini, akan lebih dikenali oleh masyarakat setempat, selain itu kewibawaan dan kelayakan beliau untuk menjadi wakil kepada DUN Simpang Jeram bersesuaian sama ada daripada sudut latar belakang, kerjaya dan keupayaan beliau sebagai wakil rakyat nanti.
Harapan Datuk kepada pengundi keseluruhannya?
Harapan saya sudah semestinya berharap agar kesemua pengundi terutamanya ahli UMNO dan BN keluar mengundi dan memilih Nazri dari PH yang sudahpun berada dalam Kerajaan Perpaduan. Selebihnya, saya berharap semua pengundi seramai 40,488 orang dapat keluar mengundi dan memilih calon yang tepat dan layak untuk mewakili rakyat Simpang Jeram. – UTUSAN










