PRK Pulai: Zulkifli mahu berbakti lebih besar

PRK Pulai: Zulkifli mahu berbakti lebih besar

ZULKIFLI JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PENGALAMAN dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hampir 20 tahun membuatkan Zulkifli Jaafar, 50, berasa terpanggil untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Pulai.

Atas kertas, beliau yang bertanding buat pertama kali dalam PRK Parlimen Pulai ini dijangka berdepan cabaran sengit menentang calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan seorang calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Namun, Zulkifli yakin keputusan bukan ditentukan atas kertas sebaliknya di tangan 167,108 pengundi di kawasan Parlimen berkenaan. Zulkifli berkongsi aspirasi yang ingin dilakukan sekiranya diberi mandat esok ini kepada wartawan Utusan Malaysia, Khairul Mohd. Ali.

 

UTUSAN: Saudara kurang dikenali berbanding lawan, Suhaizan Kayat. Komen?

ZULKIFLI: Ya mungkin saya kurang dikenali berbanding beliau (Suhaizan) di peringkat nasional, namun perlu ingat yang membuat keputusan dalam PRK Parlimen Pulai ini adalah penduduk di sini, bukannya pengundi kawasan lain.

Saya yakin dengan pengalaman berkhidmat kepada penduduk setempat atas kapasiti NGO selama ini menyebabkan ramai mengenali saya.

Saya dilahirkan di Muar pada 1973 dan membesar di kawasan Pulai. Ketika kecil ayah saya be­kerja di Singapura manakala ibu seorang suri rumah.

Penglibatan dalam NGO ba­nyak memainkan peranan dalam membentuk jati diri, boleh kong­sikan pengalaman dan awal peng­libatan dalam politik?

Saya aktif dalam kegiatan NGO kerana terpanggil untuk membantu meringankan beban dihadapi rakyat, khusus­nya akar umbi dan berpendapatan rendah.

Bermula 2005, saya telah menubuhkan NGO atas nama sendiri sebelum ia dijenamakan semula sebagai Persatuan Prihatin Muafakat Bersatu Kempas dan hingga kini masih aktif.

NGO adalah platform yang berkesan dalam membantu dan menyantuni rakyat, jadi kenapa sertai politik?

Setelah menyertai NGO, saya dapat bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dan memahami masalah serta harapan mereka kepada kepemimpinan masyarakat termasuk ahli politik.

Boleh kata alasan utama saya sertai politik kerana mahu berbakti dalam skala lebih besar. Sebagai NGO juga saya faham selok belok dan masalah setempat, jika diberi mandat dan kepercayaan saya akan lakukan yang terbaik bagi penduduk di Parlimen ini, kerana saya rasa terpanggil untuk membantu.

Apabila sertai politik dan diberikan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen, banyak perkara dapat saya lakukan, sekali gus meringankan beban rakyat, banyak manfaat boleh dikembalikan kepada rakyat menerusi tanggungjawab dan amanah itu.

Sekiranya memenangi kerusi Parlimen Pulai, apakah aspirasi terbesar yang hendak dilakukan?

Sekiranya menang, saya akan beri tumpuan sepenuhnya terhadap usaha meningkatkan ke­sejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek ekonomi. Saya mahu bawakan kestabilan dan keselamatan ekonomi antara penduduk pelbagai latar belakang dan kelas ekonomi.

Saya bersedia pikul tanggungjawab ini, kesanggupan itu saya zahirkan dengan menjadi calon bagi Perikatan Nasional (PN) dalam PRK Parlimen Pulai kali ini. Cuma saya harapkan soko­ngan pengundi Melayu, Cina, India dan lain-lain untuk kita jayakan matlamat ini bersama.

Apa pesanan yang hendak disampaikan kepada pengundi?

Walaupun ini hanyalah PRK, melibatkan satu kerusi dan bukannya berkisar tentang penubuhan kerajaan pusat atau negeri, tetapi ia sama penting bagi menyuarakan mesej yang dimahukan oleh penduduk Pulai.

Oleh itu, saya memohon kepada pengundi, khususnya generasi muda untuk keluar beramai-beramai manakala bagi pengundi yang bekerja atau menetap di luar Parlimen Pulai, pulanglah dan tunaikan hak dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Kita mahukan peratusan keluar mengundi tinggi bagi menjayakan sistem demokrasi di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×