ANDAI diperhalusi definisi sesebuah kejayaan mungkin banyak pecahannya namun salah satu antaranya ialah sokongan. Maka di sini jelas dan nyata, setiap kejayaan itu tidak akan datang bergolek tanpa adanya sokongan daripada orang sekeliling.
Begitulah yang diharapkan oleh penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim ketiga, Amylea Azizan. Setiap karya yang dihasilkan tiada lain pintanya hanya sokongan agar dapat terus menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti.
Mengimbas detik penghasilan lagu terbaharu, Kendati, kata anak jati kelahiran Alor Setar, Kedah ini, terdapat segelintir pihak yang memandang rendah lagu ciptaannya itu sehingga membuatkan dia terfikir untuk menangguhkan pelancaran lagu itu.
Menurutnya, dia berasa ralat andai anugerah yang dikurniakan Allah SWT tidak dapat digunakan sehabis baik.
“Dalam menghasilkan sesuatu saya tak pernah terfikir untuk memuaskan hati mana-mana pihak tetapi cukup dengan adanya sokongan daripada orang sekeliling produksi dan dengan cara ini juga karya saya dapat berkembang.
“Ingin saya katakan di sini bahawa kejayaan sesebuah lagu adalah satu jaminan untuk beroleh projek seterusnya yang mana dapat memberikan manfaat kepada seluruh team saya.
“Sejak buat Kendati tahun lalu dan dalam masa sama banyak lagu juga saya tulis untuk artis lain. Ada yang sudah rakam, ada yang belum. Malah ada yang sedang dalam proses rakaman.
“Sepanjang tiga bulan ini, saya tulis dalam 20 lagu termasuk lagu tema drama, jingle dan program televisyen lain. Jadi, tiga bulan ini sangat sibuk untuk saya. Sebab itu terfikir bila masa nak keluarkan Kendati, sebab tidak ada masa.
“Tetapi, inilah dikatakan rezeki apabila Allah tunjukkan sewaktu menghasilkan Kendati ada beberapa pihak yang memandang rendah lagu ini. Ini antara sebab kenapa saya tak keluarkan cepat sebab risau lagu ini takkan diterima orang. Tapi, jujurnya ada pihak yang merendah-rendahkan lagu ini pada mulanya,” jelasnya sedih.
Mungkin masih ada segelintir orang ramai yang masih tidak tahu kewujudan Amylea bukan sekadar menyandang gelaran penyanyi tetapi dia juga merupakan seorang komposer yang sudah berkecimpung dalam pembikinan muzik ini sejak 14 tahun lalu lagi.
“Ini bukan tahun baharu saya ataupun pendatang baharu, saya dah menghasilkan banyak lagu sejak 2007 dan menulis lirik lagu pada 2009 untuk artis-artis tanah air.
“Kendati betul-betul diperlekehkan dan digelakkan sampai tahap hilang keyakinan untuk keluarkan, bukan tak nak. Cuma ada pihak berasa tak penting melihat saya sebagai komposer untuk bekerjasama namun itu silap dan tidak pandai menilai bakat yang saya boleh tunjukkan.
“Kejayaan Kendati bukan untuk saya mendabik dada tetapi lebih kepada membuktikan kepada pihak yang memperlekehkan saya .
“Saya juga seorang penulis lirik lagu dan penerbit yang bagus dan tidak sepatutnya saya diperlekehkan sebegitu. Bukan saya nak kata orang lain tak bagus, saya meletakkan semua kedudukan sama,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada masa sama kata Amylea, ini adalah seperti membuktikan kepada dirinya. Allah telah membuktikan kepadanya, dia tidak seharusnya terpengaruh dengan sifat-sifat orang sekeliling, seolah-olah tidak percaya Tuhan kerana menidakkan bakat dan lebih percaya kepada orang.

KENDATI TIDAK AKAN ADA MUZIK VIDEO
Lagu terbaharu penyanyi, Amylea berjudul Kendati bukan sahaja menjadi antara lagu tema drama Takdir Yang Tertulis yang mencetuskan fenomena tetapi dianggap sebagai satu ‘takdir yang tertulis’ buat dirinya.
Kendati yang membawa maksud walaupun itu adalah ciptaan sepenuhnya Amylea yang mana dihasilkan tahun lalu. Ia dilancarkan secara rasmi pada 31 Januari lalu serentak dengan video lirik di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
Malah, lebih istimewa apabila lagu itu berada di kedudukan trending di YouTube selepas dilancarkan.
“Alhamdulillah, lagu ini masih trending sejak hari pertama dilancarkan. Sangat bersyukur pada Allah. Dia Maha Mengetahui dan Maha Melihat segala dugaan yang saya dan pasukan lalui terutama sepanjang tahun lalu yang penuh cabaran buat kita semua.
“Sebenarnya lagu ini tidak tahu bila nak dilancarkan. Tapi, rezeki apabila syarikat produksi, Radius One cakap saya kena keluarkan juga dan minta saya arahkan sendiri video sebab peralatan memang ada di pejabat mereka. Ini kesempatan buat saya apabila mereka beri peluang dan keluarkan lagu ini di YouTube walaupun drama sudah tayang seminggu awal.
“Bagi saya ini adalah keajaiban daripada Allah. Saya tak rancang pun nak keluarkan sebab kita banyak halangan dan tak tahu nak shoot ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Memang tak ada cara lain. Saya sudah reda. Saya fikir tak apa, mungkin ada waktu sesuai Allah nak bagi,” katanya.
Meskipun masih berada di carta sohor kini namun jelas penyanyi ini buah tangan terbaharunya tidak akan ada muzik video. Ini kerana video lirik sahaja pun sudah mampu menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
“Ini pun salah satu sebab buat saya perlahan. Walhal saya sudah berbincang dengan Azim Mahyudin. Semua sudah diatur elok tetapi takdir-Nya tak ada masa yang sesuai dan ada pelbagai masalah lain timbul selain tak boleh shooting dalam tempoh PKP baru-baru ini.
“Muzik video lirik pun dihasilkan dalam masa singkat. Jadi saya dah muktamad lagu ini tidak akan ada muzik video kerana pendengar pun sudah boleh menerima video lirik rasmi dengan baik.
“Jadi sekarang ini adalah masa untuk gerak kerja pembikinan muzik seterusnya pula dan idea akan dibawa ke lagu seterusnya. Nantikan tidak lama lagi lagu baharu akan menyusul,” jelasnya yang sedang rancak menghasilkan lagu-lagu artis lain.










