JOHOR BAHRU: Hari ini, Malaysia akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai penerima pertama vaksin Pfizer-BioNTech.
Meskipun kempen terhadap program tersebut telah lama dilakukan kerajaan, masih terdapat segelintir masyarakat terutamanya golongan yang dikenali sebagai antivaksin melontarkan ketidakyakinan mereka terhadap vaksin itu.
Bagaimanapun, salah seorang rakyat Malaysia yang telah menerima vaksin sama bagi mencegah dan melawan pandemik Covid-19 di Singapura mendedahkan, dia tidak mengalami apa-apa kesan sampingan selepas menerima suntikan kedua baru-baru ini.
Menceritakan kepada Utusan Malaysia, Muhammad Shafiq Nasiruddin, 33, yang berasal dari Johor Bahru berkata, mereka yang turut diberikan suntikan itu secara percuma juga menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech.
“Saya menerima suntikan pertama pada 19 Januari lalu selepas mengisi borang yang meminta kami isytiharkan sekiranya terdapat alahan terhadap ubat-ubatan atau pun makanan laut.
“Selepas menerima vaksin itu, petugas kesihatan akan memantau keadaan pesakit selama 30 minit untuk melihat sekiranya terdapat apa-apa kesan dan selepas tiada masalah kami dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Muhammad Shafiq berkata, sejak suntikan pertama dan kemudian selepas 21 hari menerima pula dos yang kedua pada 10 Februari, dia tidak mengalami sebarang kesan sampingan kecuali hanya rasa sakit seketika di bahagian yang disuntik.
Katanya lagi, memang terdapat individu yang mengalami demam atau pening kepala selepas menerima suntikan itu tetapi ia cuma dalam tempoh satu ke dua hari dan sihat sepenuhnya selepas itu setelah mengambil paracetamol.
“Macam makanan atau ubat-ubat tertentu juga, ada orang yang alah dan tidak dapat menerimanya tetapi keadaan demam seperti dialami salah seorang rakan saya tidak teruk pun, ia seperti demam biasa sahaja.
“Insya-Allah ini mungkin alternatif untuk kita melawan Covid-19 yang kita tahu ia hidup dengan kita ketika ini, kami yang berada di Singapura ini tidak mengharapkan lain kecuali keadaan kembali normal dan pintu sempadan negara dibuka semula untuk kami berulang-alik seperti dahulu,” katanya.
Menurut Muhammad Shafiq yang bertugas di Hospital Besar Singapura itu, mereka akan menerima Kad Vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan negara itu setelah mengambil suntikan pertama.
Pada kad itu katanya, turut tercatat nasihat perubatan sekiranya penerima vaksin mengalami sebarang kesan sampingan selepas mengambil suntikan tersebut.
“Antaranya jika kita sakit, kemerahan, bengkak di tempat suntikan serta demam atau menggigil, sakit kepala, sakit urat dinasihatkan untuk mengambil paracetamol, jika rasa kepenatan pula hanya perlu berehat secukupnya.
“Malah, jika mengalami bengkak di bahagian leher atau lengan pula ia akan pulih sendiri dalam tempoh seminggu kecuali keadaan berlarutan atau demam melebihi dua hari perlu berjumpa doktor tetapi setakat ini kami tidak dengar lagi kejadian pitam, meracau atau seumpamanya akibat suntikan itu,” katanya. – UTUSAN










