Misi pelaburan RM95 bilion mampu dicapai

Misi pelaburan RM95 bilion mampu dicapai

Sektor industri Malaysia dijangka terus berkembang tahun ini, disokong oleh inisiatif kerajaan yang kukuh. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi yakin misi pelaburan RM95 bilion dalam tempoh tujuh tahun pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebagai rea­listik dan mampu dicapai.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sasaran itu tidak mustahil kerana jumlah RM95 bilion bukan sahaja dari luar negara tetapi termasuk daripada peruntukan kerajaan.

“Malah, kalau kita lihat jumlah pelaburan masuk bagi pelaburan pendigitalan, negara sudah menerima RM75.87 bi­lion dari tempoh 2021 hingga Mac 2023.

“Oleh itu, saya melihat pelaburan RM95 bilion itu adalah realistik dan bukan mustahil untuk dicapai menjelang tahun 2030,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kerajaan sebelum ini komi­ted menyokong NIMP 2030 dan memerlukan jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tujuh tahun pelaksanaan pelan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan pelan tersebut kelmarin berkata, ini terutamanya daripada sektor swasta yang digerakkan daripada ekuti, modal dan pasaran kewangan swasta.

Sehubungan itu, katanya, hampir 10 peratus (RM9.5 bi­lion) akan diperuntukkan kerajaan dalam NIMP 2030 bagi merangsang pelaburan dan pembabitan industri.

Beliau berkata, NIMP 2030 dijangka meningkatkan nilai tambah dalam sektor pembuatan mencecah RM587.5 bilion menjelang 2030.

Jelasnya, jumlah itu dijangka berkembang sehingga 6.5 peratus daripada yang diperoleh negara hari ini.

Dalam pada itu Ahmed Razman berkata, kerajaan boleh menambah baik polisi dan insentif sedia ada melalui Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak lama lagi untuk menarik lebih ramai pelabur dari industri baharu dan berteknologi tinggi.

“Momentum kemasukan pelabur syarikat berteknologi tinggi harus diteruskan de­ngan mempermudahkan urusan pe­laburan masuk mereka.

“Kita berharap pelabur yang datang tidak dari satu negara tertentu sahaja tetapi mesti datang dari pelbagai negara terutamanya dari negara dagang utama kita iaitu China, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara ASEAN seperti Singapura,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×