Timbalan Presiden MUDA peroleh kebenaran cabar

Timbalan Presiden MUDA peroleh kebenaran cabar senarai hitam RoS

AMIRA AISYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Pre­siden MUDA, Amira Aisya Abd. Aziz peroleh kebenaran untuk mencabar tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menyenarai hitamkan dirinya sehingga tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar.

Kebenaran itu diberikan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 17 Ogos lalu dan mahkamah turut menetapkan 14 September ini untuk pengurusan kes.
Perkara itu disahkan oleh peguam, Lim Wei Jiet yang mewakili Amira ketika dihubungi media.

Ujar peguam terbabit, kebenaran itu diberikan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mengemukakan sebarang bantahan.
“Isu ini adalah penting ke­rana RoS telah membuat satu sistem data individu yang disenarai hitamkan. Tindakan undang-undang ini perlu bagi memastikan sama ada RoS te­lah bertindak bidang kuasa yang telah diberikan mengikut Akta Pertubuhan,” kata peguam itu.

Amira Aisya memfailkan per­mohonan untuk mendapatkan kebenaran tersebut melalui firma guaman Tetuan Lim Wei Jiet pada 13 Julai lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan afidavit soko­ngannya, Amira Aisya membe­ritahu pada 16 April lalu beliau bersama-sama beberapa aktivis hak wanita dan mahasiswa lain membuat permohonan melalui sistem dalam talian eROSES RoS untuk mendaftar sebuah pertubuhan bernama Persa­tuan Impak Wanita Malaysia (PIWM).

Menurutnya, beliau kemudian menerima e-mel bertarikh 18 April lalu daripada RoS Se­langor yang memaklumkan permohonan pendaftaran PI­WM ditolak atas dua sebab antaranya Amira Aisya telah disenarai hitam dan tidak dibenarkan memegang jawatan dalam persatuan.

Tambahnya, pada tarikh tersebut adalah kali pertama dia mengetahui dan dimaklumkan mengenai tindakan RoS menyenarai hitamkan dirinya.

“Saya kemudiannya membuat carian di laman web responden di bawah tajuk Semakan Senarai Hitam Pegang Jawatan” (https://www.eroses.gov. my/rosalert/) dan mendapati ia memaparkan saya disenarai hitam.

“Seksyen kesalahan dinyatakan sebagai “13(1)(c) (iv)” dan Tarikh Kuatkuasa dinyatakan sebagai 28 Oktober 2022. Saya tidak pasti sebab sebenar saya kononnya melanggar Seksyen 13(1)(c) (iv) Akta Pertubuhan 1966 yang menyebabkan saya disenarai hitam daripada memegang sebarang jawatan dalam persatuan.

“Namun, keputusan itu kemungkinan berkaitan dengan Persatuan Ekonomi Merdeka yang ditubuhkan pada 3 November 2017 di bawah Akta Pertubuhan 1966 yang mana saya memegang jawatan sebagai Setiausaha,” katanya.

Ujar wanita itu, beliau percaya keputusan RoS itu adalah salah kerana tiada peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 yang memberi kuasa menyenarai hitam indivividu daripada meme­gang jawatan dalam pertubuhan bagi tempoh selama-lamanya.

Beliau berkata, keputusan itu bertentangan dan melebihi bidang kuasa Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 serta melanggar hak beliau untuk membentuk persatuan yang dijamin oleh Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Amira Aisya memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan RoS menyenarai hitamkan dirinya dan perisytiharan bahawa responden tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk berbuat demikian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×