UMNO Terengganu pernah mencipta kejutan mahu bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Suhu politik bertambah panas apabila Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan yang kerjasama antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) tidak wujud di negeri itu.
Sehingga kini, UMNO Terengganu tetap tidak berganjak dengan pendirian mereka, bahkan sedia bertarung ‘ala gengster’ dengan Pas jika soal agihan kerusi masih menemui jalan buntu.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dan jurufoto, PUQTRA HAIRRY ROSLI, Ketua Penerangan UMNO Terengganu, DATUK NIK DIR NIK WAN KU mengupas hubungan UMNO-Pas negeri yang tidak pernah sebulu di Kuala Terengganu, Isnin lalu.
Kekalahan UMNO Terengganu
Selepas tewas dalam PRU-14, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan bukan sahaja di peringkat Persekutuan, bahkan negeri termasuk di Terengganu. Kemenangan Pas di negeri ini bukan kerana mereka kuat tetapi isu yang diketengahkan kebanyakannya mengulangi manifesto Pakatan Harapan (PH) seperti harga minyak, cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Tekad bertanding semua kerusi
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar terlebih dahulu mengumumkan hasrat Pas untuk bertanding di 22 kerusi DUN dan enam Parlimen. Di samping itu, soal wang bantuan berikutan serangan Covid-19 sebanyak RM350,000 kepada semua wakil rakyat yang disalurkan Kerajaan Persekutuan juga tidak diagihkan secara adil. UMNO cuma menerima RM45,000.
Inilah sebab-sebab mengapa Ahmad Said tegas tentang kita akan bertanding di semua kerusi dan tampil bersuara bahawa MN tidak wujud langsung di sini.
UMNO reda sekiranya PRU-15 kedua-dua parti bertanding belaka dan kalau Pas menang, merekalah yang jadi kerajaan dan begitu juga sebaliknya. Kalau nak bergabung pun, kita buatlah kemudian selepas PRU-15.
Akur arahan kekal status quo?
Kita sudah berbincang banyak kali dengan UMNO Pusat termasuk memberi pandangan dan fakta-fakta. Pertamanya, sejarah pilihan raya umum di Terengganu, Pas hanya menang dua kali manakala BN 12 kali. Ini membuktikan yang Pas tidak kuat. Jadi, kenapa hendak menyerahkan negeri ini kepada Pas?
Kami minta Pusat agar diberikan sekurang-kurangnya agihan secara menang-menang, biar sama-sama berpuas hati. Ada orang kata, kalau menang-menang itu mungkin bermaksud separuh-separuh iaitu 16 kerusi DUN di samping lapan Parlimen tetapi saya tidak tahu dan terpulang kepada parti.
Yang keduanya, kalau payah sangat, kita minta kebenaran dan keizinan untuk bertanding di semua kerusi. Siapa menang, dialah yang jadi kerajaan. Jadi, UMNO dan Pas masing-masing kena reda.
Tetapi buat masa ini pendirian UMNO Terengganu kekal untuk bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen.
Kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO tentang agihan kerusi di Terengganu buntu.
Ya betul, sebab beliau (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) ada semasa rundingan agihan kerusi dibuat. Sebenarnya bukan di Terengganu sahaja, di negeri lain pun berdepan situasi sama, cuma kita jadi sebutan sebab mencetuskan hasrat bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen.
Saya difahamkan, Pas ada meminta kerusi di Pahang, malah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pernah bercakap dengan Ahmad Said, kalau Pas minta kerusi Selangor maka mereka perlu menyerahkan kerusi di Terengganu kepada UMNO.
Bolehkah Pas bersikap budiman serahkan kerusi?
Pas tidak akan buat begitu. Jadi, kita pun akan melawan mereka macam gengster dan tiada istilah bertanding anak-beranak.
Pas tamak kerusi?
Pas ada pemimpin di seluruh negeri, adakah wakil rakyat Pas hanya nak diletakkan di Terengganu, Kelantan dan Kedah? Adakah orang Pas di Selangor misalnya, tidak mahu jadi wakil rakyat dan yang di Pahang atau Johor tidak mahu jadi ahli Parlimen? Itu gambaran yang saya mahu berikan.
Kalau Pas mahu semua kerusi yang dimenangi di Terengganu, Kelantan dan Kedah, kenapa mahu lagi kerusi UMNO di negeri lain? Siapa yang nak bagi? Pas sendiri, adakah nak bagi kerusi mereka kepada orang? Itulah perangai orang Pas yang tidak mahu bertolak-ansur. Saya sudah masak dengan tindak-tanduk, tingkah laku, fiil, perangai, cakap, nawok (bohong) yang jadi mainan parti itu sampai sekarang.
MN tidak wujud di Terengganu
Ya, dahulu ada juga sedikit tetapi sekarang sudah tiada langsung, zero. Sebenarnya bukan kita sahaja yang tidak mahu MN wujud, bahkan Pas pun sama. Sebelum ini, jawatankuasa MN negeri pernah bermesyuarat semasa kita menganjurkan Himpunan Perpaduan Ummah tahun lalu dan selepas itu tiada lagi.
Persediaan PRU-15?
Kita sudah bersiap-siaga dengan strategi dan lain-lain. Kalau esok Parlimen dibubarkan, kita sudah 100 peratus bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
Calon-calon bagaimana?
Sebahagian calon sudah dikenal pasti. Kita berpegang kepada Perlembagaan parti iaitu senarai calon dihantar oleh bahagian masing-masing kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk pemilihan.
UMNO boleh menang besar?
Kenyataan Ahmad Said untuk bertanding di semua kerusi memberi keyakinan yang kita boleh menang. Dengan gerak kerja dibuat, sekurang-kurangnya kita yakin dapat meraih 20 kerusi DUN.
Yang penting, 10 kerusi dimenangi wajib dipertahankan manakala 10 lagi merupakan kerusi yang kita sudah perhatikan potensinya. Baki 12 lagi kerusi DUN bukan di kawasan tradisi kita dan peluangnya 50-50 jika strategi mengena dan rakyat sedar.
Misi rampas kerusi
Kita yakin kalau bertanding dengan Pas dalam PRU-15, kita boleh menambah dua lagi kerusi Parlimen dan entah-entah menyapu bersih semua lapan Parlimen. Perkara itu tidak mustahil dengan isu-isu dan kerja puak Pas yang dok rok cetong (tidak boleh diharap langsung).
Mahu terus bertanding dalam PRU-15?
Sebagai Ketua UMNO Bahagian Marang dan Ketua Penerangan UMNO negeri, saya reda jika tidak diberikan tempat untuk bertanding. Apa yang mustahak, calon kita mesti menang dan UMNO Terengganu menjadi kerajaan semula. Tetapi kalau dicalonkan pun saya terima.
UMNO korban hati, perasaan untuk MN
Cetusan untuk kerjasama MN bermula di peringkat UMNO dan Pas Pusat. Pemimpin UMNO Terengganu dan penyokong hardcore tidak reda sebenarnya, begitu juga dengan Pas. Tetapi setelah diberi penjelasan dan penerangan di samping mengambil kira hura-hara yang dicetuskan kerajaan PH, maka kami reda bergabung untuk memberi gambaran yang Melayu-Islam kuat dan mu (PH) jangan buat main-main dengan kami.
Gabungan ini dibuat semata-mata demi Melayu, Islam, negara dan masa depan anak bumiputera maka UMNO termasuk di Terengganu rela mengorbankan hati dan perasaan, pedih dan perit jiwa dicarut, dikafirkan serta disembelih yang dibuat oleh orang Pas.
Pas usah main dua kolam
Pas beruntung kerana duduk dalam MN. Jadi, selepas kerajaan PH tumbang dan PN menjadi kerajaan maka pemimpin mereka turut dilantik sebagai menteri. Oleh kerana keseronokan dan kenikmatan menjadi menteri, maka Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempergunakan Pas untuk menghancurkan UMNO.
UMNO teramat sedar realiti itu tetapi kerjasama tetap diteruskan kerana rakyat. Dalam tempoh Covid-19 ini walaupun kita berasa marah tetapi demi rakyat, kita sanggup mengorbankan perasaan.
Kita sudah jadi kerajaan selama 61 tahun dan segala yang ada dalam negara semuanya dibina UMNO.
Pas perlu kembali istiqamah
Pas selalu mengatakan parti itu berprinsip. Jadi, saya minta pemimpinnya termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kembali istiqamah ke landasan perjuangan asal.










