IPOH: Kecacatan kekal akibat terpijak jerangkap samar dalam operasi memburu komunis di Klian Intan, Gerik, 45 tahun lalu, tidak pernah dilupakan oleh seorang pesara tentera.
Sarjan (B) Hassanuddin Abd. Karim, 75, berkata, insiden yang menyebabkan dia hilang kaki kiri sehingga paras buku lali itu berlaku ketika menyertai operasi Echo Foxtrox pada 11 Julai 1978.
“Walaupun telah 32 tahun bersara daripada komando, kejadian terpijak jerangkap samar itu antara peristiwa yang amat sukar dilupakan.
“Malah, sehingga kini saya terbayang-bayang kejadian itu terutama apabila melihat parut di kaki. Bagaimanapun, saya bangga kerana kecacatan kekal ini bukti bakti kepada negara,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri di pekarangan Stadium Perak di sini, semalam.
Bekas anggota Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM) itu adalah seorang daripada sembilan penerima sumbangan wira negara yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurut bapa kepada enam anak itu, selain peristiwa pahit terkena jerangkap samar, dia juga sukar melupakan situasi ketika menyertai Op Gonzales pada 1974.
Katanya, ketika operasi tersebut, dia berdepan saat-saat cemas apabila dilemparkan tiga butir bom tangan oleh musuh.
“Kejadian itu sangat mendebarkan namun saya bersyukur terselamat kerana bom berkenaan tidak meletup,” katanya.
Berhubung sumbangan wira negara yang diterimanya, Hassanuddin berkata, dia bersyukur dan terharu apabila pengorbanannya sebagai anggota tentera mendapat perhatian pihak berwajib.
Malah katanya, dia tidak pernah terfikir akan menerima sijil penghargaan yang disampaikan sendiri oleh Sultan Nazrin. – UTUSAN











