ALOR SETAR: Tidak ada impian lain bagi seorang guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) untuk menyediakan kehidupan yang lebih selesa kepada isteri dan tiga anaknya jika kerajaan bersedia memberikan gaji tetap berbanding elaun yang diraih selama ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, guru lelaki berusia lewat 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Zarul berkata, sudah lama dia teringin untuk memiliki kediaman sendiri yang lebih sempurna atau setidak-tidaknya menyewa rumah yang lebih baik untuk keluarganya.
“Ketika ini kami dapat elaun kira-kira RM1,300 sebulan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) majikan, namun setelah ditolak caruman pendapatan bersih hanya sekitar RM900 sebulan.
“Jangan kata nak beli rumah, nak menyewa di kediaman yang lebih selesa pun tidak mampu apatah lagi nak pergi ke bank buat pinjaman, memang belum dapat nombor giliran dah diminta balik,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kerajaan akan melakukan kajian dan pertimbangan tentang pemberian elaun kepada guru KAFA kepada bentuk gaji tetap dalam Belanjawan 2024.
Difahamkan, seorang guru KAFA di negeri ini memperoleh RM1,246 sebulan termasuk caruman KWSP dan Perkeso majikan, namun hakikatnya gaji bersih mereka jauh lebih rendah daripada itu.
Setelah ditolak caruman kedua-dua agensi itu bagi pihak pekerja berjumlah kira-kira RM260, pendapatan bersih seorang guru KAFA hanya sekitar RM986 sebulan. Elaun mereka dinaikkan RM100 kepada RM1,100 pada Belanjawan 2023 tahun lalu.
Zarul yang kini menumpang rumah keluarga mentuanya berkata, walaupun langkah itu belum direalisasikan, dia berharap agar kerajaan serius melaksanakannya kerana ia bukan sahaja membantu dirinya tetapi ribuan lagi guru-guru KAFA yang senasib dengannya.
Sementara itu, guru KAFA dikenali sebagai Siti Aisyah, 37, berkata, dia turut mengambil upah menjahit jika berkelapangan bagi menampung perbelanjaan keluarga kerana suami juga hanya mencari rezeki sebagai pemandu lori.
“Dua anak kami sedang bersekolah jadi memerlukan wang belanja yang mencukupi, bukan tidak bersyukur dengan elaun yang diterima selama ini tetapi mengharungi kehidupan pada zaman serba mencabar ini amat sukar.
“Kami amat-amat menghargai jika kerajaan mempertimbang untuk menjadikan elaun bulanan ini sebagai gaji tetap kerana ia amat membantu kehidupan guru-guru KAFA dan kerajaan juga mungkin boleh melihat tangga gaji yang sesuai kepada golongan ini pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN











