KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan siasatan berhubung tindakan seorang lelaki yang membaca doa dalam satu majlis yang turut disertai upacara keagamaan penganut lain dilakukan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan lanjut akan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) jika ada unsur jenayah dalam perbuatan itu.
“Setakat ini tiada unsur jenayah dan ia lebih kepada isu agama, maka Jawi akan lakukan siasatan,” katanya.
Sebelum ini, Jawi memaklumkan akan melakukan siasatan lanjut berhubung isu terbabit bagi memastikan amalan itu tidak mengandungi unsur menyalahi pandangan hukum atau fatwa.
Menurut kenyataan dikeluarkan Jawi itu, sebarang kesalahan berhubungan dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, satu laporan diterima pihaknya pada 22 Ogos.
Bagaimanapun, laporan berkenaan dirujuk USJT Bukit Aman bagi tindakan lanjut.
Sebelum ini, satu rakaman siaran langsung majlis program pecah tanah itu yang berlangsung hampir satu jam di Facebook oleh sebuah akhbar tempatan tular di media sosial, baru-baru ini. – UTUSAN











