PETALING JAYA: Lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawar kemasukan ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Angka tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan Malaysia untuk melahirkan pekerja berkemahiran sekiranya institusi yang menawarkan pelbagai kemudahan dan pemberian elaun bulanan oleh kerajaan tidak menjadi pilihan belia.
Lebih membimbangkan, jumlah permohonan untuk melanjutkan pelajaran di institusi itu juga menurun dalam tempoh tiga tahun iaitu tahun 2019 seramai 16,989 memohon, menurun kepada 7,496 pada 202 dan tahun 2021 seramai 9,833.
Sedangkan ILKBS tidak mengenakan yuran pengajian kerana semua ditanggung kerajaan.
Cuma mereka perlu membayar bayaran asas dan teknikal yang dikenakan sekali sepanjang pengajian dengan kadar berbeza mengikut kursus yang diambil.
Syarat kemasukan ke ILKBS juga mudah iaitu pemohon hanya perlu berumur antara 18 hingga 30 tahun; warganegara; tamat tingkatan lima serta boleh membaca, menulis dan mengira; sihat tubuh badan dan bujang.
Pada masa sama, pihaknya menjangkakan pertambahan seramai 5,000 calon akan membuat permohonan kemasukan ke ILKBS bagi sesi kedua tahun ini
“Mereka (baki calon tidak mendaftar sesi pertama) menolak atau telah mendapat tawaran kemasukan ke institusi latihan yang lain,” katanya.
DIKAWAL
ILKBS yang ditubuhkan pada 1964 merupakan salah satu daripada Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang dikawal selia sepenuhnya di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
ILKBS terlibat secara aktif dalam pelaksanaan program berasaskan TVET merangkumi 22 buah institut di bawahnya meliputi Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG).
ILKBS menawarkan 14 bidang utama melibatkan 115 program atau kursus sepenuh masa dan lebih kurang 200 kursus jangka pendek untuk golongan belia yang berumur 18 sehingga 30 tahun.
Susulan ramai calon yang tidak mendaftar pada sesi pertama tahun ini, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia membidas persepsi dan pandangan negatif terhadap ILKBS.
Pelajar yang menerima tawaran di ILKBS dan menamat pengajian dalam apa-apa bidang dipelajari akan memberi sumbangan yang besar dalam penjanaan ekonomi negara di masa akan datang.
“ILKBS sangat menitikberatkan pembangunan modal insan dalam kalangan belia dengan memastikan pelajar kami cemerlang dan seimbang dengan persekitaran semasa.
BELIA
“Malah, inisiatif yang dilaksanakan oleh ILKBS dalam melahirkan belia berkemahiran sememangnya menjadi rebutan untuk bekerja atau menjalani latihan industri dalam mana-mana syarikat di negara ini.
“Ini kerana kemahiran TVET ditawarkan oleh ILKBS bukanlah hanya soal latihan dan untuk mendapat sijil kemahiran semata-mata, tetapi mencakupi 80 peratus elemen kemahiran dan 20 peratus elemen pembangunan modal insan,” katanya.
Selain itu, katanya, ILKBS juga mengukuhkan statusnya sebagai salah sebuah institusi yang terus menghasilkan pelajar berkualiti dan berkemahiran tinggi kepada industri tempatan.
Langkah itu, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja dan kepakaran warga asing.
“Terkini sehingga tahun 2022, nilai kebolehpasaran graduan bagi 22 buah ILKBS adalah sebanyak 96.19 peratus dengan purata gaji minimum sebanyak RM1,764.95,” katanya.
Oleh itu, ILKBS mengajak golongan belia untuk menyertai latihan kemahiran secara sepenuh masa yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya mereka dapat dibantu untuk keluar dari permasalahan sosial serta isu pengangguran.
“KBS berharap penyertaan belia dalam program dan kursus ILKBS ini, dapat mengubah persepsi belia terhadap kerajaan yang prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh belia masa kini khususnya berkaitan isu permasalahan sosial dan pengangguran.
“Para belia juga boleh mendapatkan maklumat atau info lanjut berkaitan kursus yang ditawarkan serta pengambilan kemasukan menerusi saluran media sosial ILKBS di https://www.facebook.com/ILKBS atau layari www.kbs.gov.my,” kata jurucakap itu. – UTUSAN










