Hidupnya seakan gelap seketika. Semuanya bagaikan musnah dalam sekelip mata.
Manakan tidak, pemilik nama Airulmi Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Al Rumie di alam maya itu mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersukan sebelum disahkan menghidap penyakit jantung tatkala usianya menjangkau 43 tahun.
Bagaimana boleh terjadi? Perkara itu sentiasa berlegar-legar di benak fikirannya yang juga merupakan seorang pencipta kandungan Youtube dikenali.
Apatah lagi, serangan jantung pertama dialaminya adalah pada tarikh yang sepatutnya dia menyertai kejohanan maraton bertaraf dunia.
“Saya sepatutnya menyertai Kejohanan Tokyo Marathon pada tahun 2020 selepas pendaftaran yang dilakukan secara undi melibatkan pelari dari serata dunia berjaya diterima.
“Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian akibat pandemik Covid-19 yang melanda menyebabkan pihak penganjur membatalkan acara berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pembatalan acara itu membenihkan sedikit kekecewaan di sudut hatinya kerana ia merupakan impiannya untuk menyertai acara terbesar itu.
“Pada awalnya saya tidak menyangka nama saya terpilih. Ia adalah impian saya untuk berlari di satu acara maraton yang paling sukar disebabkan oleh permintaan penyertaan yang sangat tinggi.
“Saya melakukan latihan dengan bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik. Namun, perancangan Allah lebih baik. Selang seminggu dari tarikh acara maraton yang dibatalkan itu, saya terkena serangan jantung sebanyak dua kali semasa melakukan aktiviti larian.
“Bayangkan jika acara (maraton) itu tidak dibatalkan dan saya berada di sana (Jepun), sudah tentu situasi yang lebih teruk terjadi kepada saya,” kongsinya.
Jantung tersumbat
Mengimbau detik awal mengalami serangan jantung, kata Airulmi, ketika sedang melakukan aktiviti larian seperti biasa, dia tiba-tiba sesak nafas dan hampir terjatuh.
“Saya sangkakan hanya mengalami asma, jadi, saya pergi ke klinik untuk mengambil rawatan nebulizer.
“Kali kedua terkena serangan apabila saya cuba berlari sekali lagi dan saya hampir pitam. Esoknya saya terus ke hospital untuk pemeriksaan terperinci dan doktor mengesahkan saya mengalami pembuluh darah jantung tersumbat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai keadaanya, Ketua Unit Operasi di sebuah GLC itu berkata, sumbatan itu bukanlah 100 peratus dan beliau disarankan untuk melakukan prosedur memasang stent dan bukan pembedahan.
Bapa kepada dua anak itu menjelaskan, keadaannya juga semakin baik selepas mengikuti pemulihan kardiologi, diet, pengambilan ubat dan mengikuti latihan larian yang sesuai.
“Walaupun sudah tidak boleh terlalu aktif seperti dahulu, tetapi saya tetap melakukan aktiviti larian dengan cara yang betul beserta nasihat doktor.
“Saya tidak akan berhenti amalkan gaya hidup sihat. Kata doktor, aktiviti berlari itu antara yang menyelamatkan saya semasa terkena serangan tempoh hari. Kalau orang yang tidak bersenam langsung, kebiasaanya akan terus rebah apabila terkena serangan,” katanya.
Teruskan maraton
Mac 2023, Airulmi bangkit melawan penyakitnya itu dengan menyertai acara Tokyo Marathon yang diadakan selepas dibatalkan tiga tahun lalu.
Berbekalkan nasihat doktor dan senaman yang sesuai dengan keadaan kesihatannya, dia berjaya melakukan maraton penuh sejauh 42 kilometer pada acara berkenaan.
Anak kelahiran Johor Bahru itu berjaya menamatkan larian dalam cuaca sejuk (lapan darjah celcius) dengan catatan masa enam jam 13 minit pada acara yang merupakan antara enam kejohanan maraton bertaraf dunia itu yang turut diiktiraf oleh Abbot World Marathon Majors.
Disebalik keadaan kesihatannya yang mengalami pembuluh darah jantung tersumbat hampir 90 peratus, Airulmi tetap berjaya melunaskan impian lamanya dalam acara maraton berkenaan.
Kesan gaya hidup lama
Mengenai punca penyakit dialami, katanya, kemungkinan besar adalah kesan daripada gaya hidup tidak sihat yang diamalkannya ketika berusia awal 30an.
Ceritanya, pada ketika itu, dia bertugas di sebuah kawasan pedalaman dan mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif selain kuat merokok.
“Berat badan saya mencecah 110 kilogram (kg). Ketika itu juga saya mengalami beberapa masalah kesihatan seperti hipertensi, slip disc dan asma yang teruk.
“Bila saiz badan besar, prestasi kerja turut menurun kerana sering cuti sakit. Saya juga tidak boleh duduk lama di dalam kereta kerana masalah tulang belakang yang dialami,” ujarnya.
Situasi berlarutan sehingga beberapa tahun sebelum dia nekad untuk mengubah gaya hidup lebih sihat.
Ia berlaku selepas dia menyaksikan beberapa kematian ahli keluarga terdekat yang menjentik nalurinya untuk menjaga kesihatan.
Fokus urus stres
‘Mengurus stres untuk menjaga kesihatan jantung’.
Itu misi Airulmi kini. Dalam usaha berkenaan, dia merendahkan setiap jangkaan dalam satu-satu hal untuk mengendalikan stres dengan lebih baik.
“Kadang-kadang stres itu datang daripada diri sendiri yang meletakkan satu-satu jangkaan yang terlalu tinggi, apabila tidak mencapainya akan jadi stres.
“Selain itu, perkongsian saya di Youtube mengenai masalah yang dialami dan kemudiannya mendapat maklumbalas positif daripada penonton juga banyak membantu diri saya untuk terus positif.
“Malah, apabila ramai yang berkongsi masalah sama membuatkan saya memahami bukan saya saja yang melalui permasalahan ini,” katanya yang mempunyai 53,800 pengikut di saluran Youtube Al Rumie.
Perkongsiannya itu banyak menjadi inspirasi kepada penonton dan sehingga kini dia semakin dikenali ramai apabila seringkali menerima tawaran review daripada jenama-jenama produk terutamanya kasut sukan.










