PUTRAJAYA: Hilang punca pendapatan, menganggur dan stres semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 ternyata mencetuskan ‘kebiasaan baharu’ dalam kehidupan masyarakat kita dengan meningkatnya kes-kes perceraian.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, dalam keadaan suami isteri terpaksa duduk di rumah, rupa-rupanya mencetuskan cabaran lebih besar kepada mereka sehinggakan hal-hal remeh pun membawa kepada perselisihan faham seterusnya perceraian.

Malah, beliau sendiri terkejut apabila mahkamah syariah di seluruh negara yang beroperasi semula pada 10 Jun lalu mencatatkan jumlah kehadiran orang awam agak luar biasa yang memfailkan kes perceraian masing-masing.
“Sebanyak 6,569 kes perceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun lalu yang memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Berbeza sebelum PKP, kalau bergaduh mungkin salah seorang boleh keluar rumah untuk cool down bagi mencari ketenangan, jadi boleh kawal emosi. Namun semasa PKP, terpaksa mengadap sahajalah satu sama lain.
“Akibatnya tercetus tekanan, naik darah tinggi. Bila masing-masing gagal kawal emosi, maka mempercepatkanlah lagi proses yang membawa kepada perceraian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd. Naim mengesahkan turut menerima maklum balas daripada 42 Hakim Mahkamah Rendah Syariah di seluruh negara terhadap kes-kes yang difailkan di mahkamah masing-masing.
Dalam analisis oleh hakim-hakim terbabit, kata beliau, lima punca utama perceraian dalam tempoh PKP adalah tiada persefahaman antara pasangan suami isteri, masalah kewangan, suami tidak menyediakan nafkah zahir dan batin yang mencukupi kepada isteri, pasangan curang dan tekanan emosi.
Daripada statistik yang disediakan juga merekodkan Selangor mencatat jumlah pendaftaran kes cerai paling tinggi sepanjang tempoh sama iaitu 1,252.
Mohd. Naim menjelaskan, antara faktor yang menyumbang kepada statistik perceraian di Selangor adalah kepadatan penduduk dan kos sara hidup yang tinggi.
“Sepatutnya dalam tempoh PKP, hubungan kekeluargaan semakin erat berikutan banyak masa dihabiskan di rumah.
“Bagaimanapun tidak semua pasangan suami isteri mampu mengeratkan keharmonian rumah tangga masing-masing sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya..
Dalam perkembangan sama , beliau memberitahu, Malaysia mungkin boleh mengambil contoh sistem perundangan syariah yang dilaksanakan di beberapa negara di Asia Barat bagi mengekang pertambahan kes perceraian.
“Undang-undang sedia ada kita mengiktiraf penceraian di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah.
“Secara peribadi, saya fikir boleh buat undang-undang seperti di Asia Barat iaitu selagi mahkamah tidak beri kebenaran, lafazlah berpuluh kali pun di rumah, tidak dikira (sah). Dengan cara sebegini, bolehlah kita kawal (kes perceraian),” katanya. – UTUSAN









