KUALA LUMPUR: Bersatu berasa kecewa dengan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bersatu Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, ini kerana keputusan tersebut sekaligus menyebabkan perpecahan Melayu dan berlakunya pertembungan tiga penjuru pada PRU nanti.
Bagaimanapun, katanya lagi beliau tetap menghormati keputusan UMNO kerana ia merupakan amalan demokrasi kepada mana-mana parti politik di Malaysia.
“Kita menghormati keputusan UMNO. Tetapi secara tidak langsung apa yang dimaksudkan mereka ialah akan berlaku pertembungan.
“Sudah pasti kita rasa terkilan dengan keputusan itu kerana kita bercakap pasal perpaduan Melayu dan orang Melayu dah gembira dengan apa yang berlaku. Dengan UMNO Pas bekerjasama, UMNO dengan Bersatu pun sudah buat rundingan, tiba-tiba dah sampai masa untuk perjuangkan Melayu, mereka nak keluar dari perpaduan dan persepakatan ni pula,” katanya ketika dihubungi.
Menyifatkan UMNO tidak meletakkan perpaduan sebagai keutamaan, Rosol berkata keputusan tidak bekerjasama dengan Bersatu adalah pilihan terbaik pada mereka untuk terus memerintah selepas PRU akan datang.
“Semua ini tidak lain tidak bukan, mereka hanya ingin merebut jawatan Menteri dan Timbalan yang dilihat lebih kepada kepentingan masing-masing.
“Kalau mereka fikirkan tentang perpaduan, isu keluar tak keluar, tak mahu bekerjasama, kesua ini takkan timbul. Tapi kita tahu, rakyat mampu menilai dan biar rakyat yang membuat keputusan yang terbaik nanti,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Rosol turut berkata pihaknya akan mencari jalan terbaik untuk membuat rundingan semula dengan UMNO supaya dapat bekerjasama dengan parti itu pada PRU akan datang.
“Kita tidak menolak kemungkinan untuk berunding semua supaya boleh bekerjasama dengan UMNO, tapi kalau UMNO tetap rasa merek ‘big brother’, kita tak boleh kata apa-apa.
“Pada kita, isu kerusi itu nombor dua. Yang utama adalah kesepakatan. Bersatu amat terbuka, kita memang tak berani. Tapi kalau ajak bergaduh, kita tak lari,” tegasnya lagi. -UTUSAN









