PRN: Empat negeri catat pengundi tertinggi - Utusan Malaysia

PRN: Empat negeri catat pengundi tertinggi

Empat negeri diramal akan mencatat peratus keluar mengundi tinggi. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peratusan ke­luar mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini dijangka tinggi sehingga mencecah 80 peratus terutama di tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan yang mempunyai pengundi cenderung menyokong parti pilihan mereka.

Peratusan keluar mengundi di Pulau Pinang pula sekitar 75 peratus atas faktor yang sama manakala bagi Selangor dan Negeri Sembilan dijangka sekitar 70 peratus atas faktor kedua-dua negeri tersebut mempunyai ramai pengundi atas pagar atau pengundi kelabu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, dua faktor besar menentukan peratusan keluar mengundi ialah pengundi yang dipengaruhi sentimen kepartian manakala bagi pengundi atas pagar, mereka masih berkira-kira.

“Kita tidak boleh lihat peratusan keseluruhan berdasarkan jumlah 9.7 juta pe­ngundi, sebaliknya kena te­ngok berdasarkan enam negeri tersebut. Mungkin ada negeri rendah, mungkin ada negeri tinggi sehingga lebih 80 peratus. Ini berdasarkan dua kumpulan iaitu pengundi tegar dan pengundi atas pagar.

“Kedah, Kelantan, Terengganu mempunyai pengundi tetap Pas, begitu juga Pulau Pinang mempunyai jumlah pengundi DAP dan Pakatan Harapan (PH), jadi diramalkan peratusan keluar mengundi di empat negeri tersebut tinggi.

KEPARTIAN

“Bagi Selangor, rata-rata pengundi terdiri dalam kalangan tidak kepartian dan banyak menerima pendedahan maklumat selain mereka juga masih baru mengundi pada PRU15 jadi mungkin ramai yang malas keluar mengundi Sabtu ini berbanding empat negeri lain.

“Selain itu, terdapat sebilangan pengundi berpandangan status quo di enam negeri dijangka kekal, jadi, mereka berasakan buat apa hendak keluar mengundi kalau kerajaan kekal sama,” kata beliau.

Mengenai parti yang mendapat kelebihan jika peratusan keluar mengundi rendah, Wan Ahmad berkata, parti pemerintah kerajaan negeri dilihat mempunyai kelebihan jika situasi itu berlaku.

Menurut beliau, perkara itu dapat mengulangi empat siri PRN iaitu Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini yang mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi rendah sekali gus memberi kelebihan kepada parti kerajaan untuk meraih kemenangan besar.

“Tetapi, kalau boleh peratusan keluar mengundi semua di enam negeri antara 70 hingga 75 peratus, ia menjadi PRN yang berjaya setelah melihat contoh empat PRN sebelum ini yang mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi antara 54.92 dan 66.61 peratus,” katanya.

DIREKODKAN

Sebaliknya, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, peratusan keluar mengundi di enam PRN dijangka rendah iaitu sekitar 60 peratus berbanding 74.70 peratus seperti direkodkan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, walaupun PRU15 baru berlangsung tujuh bulan lalu, namun tidak boleh dijadikan ukuran kepada enam PRN kerana kedua-dua mempunyai kecenderungan berbeza untuk memilih bakal penerajui kerajaan negeri, apatah lagi isu-isu dimainkan hanya bersifat tempatan.

Oleh demikian, beliau berkata, pengundi baharu dan muda boleh memainkan peranan penting kepada peratusan keluar mengundi.
“Pengundi baharu dan muda ini dilihat mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih dengan melihat PRN ini akan memberi kelebihan kepada mereka atau tidak.

“Malah, masih terdapat ramai pengundi yang tinggal di negeri lain dan mereka perlu pulang ke kampung halaman jika ingin mengundi, sekali gus antara pertimbangan perlu diambil kira sama ada untuk mengundi atau sebaliknya.

“Selain itu mungkin pengundi setia parti tertentu mungkin tidak keluar mengundi kerana perubahan corak politik semasa apabila mereka merasakan tidak mahu mengundi calon dan parti yang sebelum ini tidak sehaluan fahaman politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×