Budaya politik, kempen ada yang masih kurang ajar

Budaya politik, kempen ada yang masih kurang ajar

BEBERAPA amalan negatif yang sebenarnya menimbulkan keresahan, kebimbangan dan rasa muak dalam kalangan orang awam masih lagi berlaku dalam kalangan parti politk. – UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHANGATAN pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sudah panas diperkatakan sebelum hari penamaan calon pada minggu lalu lagi. Orang ramai dapat perhatikan sendiri pelbagai tingkah laku, drama dan aksi calon, penyokong dan ahli kesemua parti politik yang bertanding merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tanpa menyentuh mana-mana parti dan calon, kita masih dapat menyaksikan beberapa amalan negatif yang sebenarnya menimbulkan keresahan, kebimbangan dan rasa muak dalam kalangan orang awam.

Saki-baki kemelut dan pergeseran antara parti politik susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022 masih dapat dihidu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sesungguhnya pelbagai perbezaan antara parti-parti politik yang bermusuhan sepatutnya sudah dapat diselesaikan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Kita tidak perlu menjadi penganalisis politik tegar untuk melihat dan memahami realiti pergeseran yang masih wujud dalam kalangan pemimpin pada peringkat akar umbi. Bak kata orang, kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang.

Perbincangan di sini bukan berkaitan politik, sebaliknya bertujuan melihat amalan, tingkah laku, sikap dan budaya berpolitik yang menjadikan sistem demokrasi dianggap kurang meyakinkan. Walaupun bermacam-macam usaha dilakukan untuk memastikan kerajaan dan parti politik bersih dan amanah, nila setitik masih mampu merosakkan susu sebelanga.

Dalam keghairahan berkempen mengangkat calon parti masing-masing, berlaku beberapa kekhilafan yang mengundang reaksi negatif dan cemuhan orang ramai, apatah lagi pihak lawan memang seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Sebagai contoh, poster kempen calon Perikatan Nasional (PN) DUN Bahau, P. Kumar menjadi tular kerana dinyatakan dia pengerusi pusat tahfiz al-Quran.

Warga maya, khususnya penyokong parti lawan mula mempersoalkan kredibiliti calon dan bagaimana seorang bukan Islam boleh memegang jawatan tinggi di pusat tahfiz. Kemudian, dimaklumkan bahawa berlaku kesilapan kerana maklumat pada poster digital itu tidak disemak dengan teliti sebelum disebarkan. Sikap acuh tak acuh dan kurang teliti seperti ini tidak sepatutnya menjadi budaya kita. Apatah lagi dalam soal berkempen bagi merebut undi orang ramai sementara pihak lawan sentiasa menunggu peluang mencari kesalahan.

Kesilapan teknikal juga berlaku apabila maklumat pada poster empat calon PN di Kedah memaparkan latar belakang pendidikan yang sama. Orang ramai mula ketawa dan memperli profil calon PN bagi DUN Kota Darul Aman, Alor Mengkudu, Anak Bukit dan Suka Menanti. Keempat-empat mereka disenaraikan memiliki sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti Marshall, Huntington, Amerika Syarikat.

Sebenarnya, kekhilafan berlaku apabila rangka sama digunakan sewaktu membuat poster keempat-empat calon secara tergesa-gesa. Keadaan diburukkan apabila gagal disemak sebelum disebarkan.

KURANG AJAR
Memanglah dalam budaya berpolitik ada turun dan naik. Seseorang yang diberi peluang bertanding atau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini tidak semestinya diberi peluang pada setiap pilihan raya. Tambahan pula, pelbagai percaturan politik perlu dilakukan kerajaan dan pembangkang serta setiap parti politik dalam memuktamadkan senarai calon.

Berita yang hangat diperkatakan adalah situasi di Pulau Pinang. Orang ramai terkejut apabila Timbalan Ketua Menteri, Dr. P. Ramasamy tidak dicalonkan untuk kerusi DUN Perai walaupun dia mendapat sokongan padu cawangan UMNO, MIC dan MCA. Anak didiknya, iaitu Satees Muniandy digugurkan daripada senarai bagi DUN Bagan Dalam manakala seorang lagi, David Marshel kempunan kerana tidak diberi peluang. Maka, mereka berdua mengumumkan keluar DAP dan bertanding sebagai calon Bebas dengan David mempertaruh nasib di DUN Perai.

Memanglah keputusan bertanding sebagai calon Bebas merupakan hak dan pilihan mereka. Akan tetapi, budaya kurang ajar dan sikap menaburkan kata-kata kurang sopan terhadap pemimpin tertinggi parti memberi gambaran negatif tentang keperibadian Satees dan David sendiri. Malah, ada pula pihak beranggapan Ramasamy yang menjadi dalang di sebalik tindak-tanduk buruk mereka berdua.

Dalam pada itu, MIC dan MCA membuat keputusan tidak meletakkan calon dalam PRN kali ini. Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri pada 2 Ogos, Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran mengaku partinya kini berada di persimpangan jalan.

Keadaan diburukkan apabila MIC tidak diberikan kerusi-kerusi yang diinginkan. Katanya, MIC boleh menang di DUN Jeram Padang tetapi UMNO sendiri berebut kerusi itu.

Vigneswaran juga kecewa kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah menjanjikan jawatan dalam kerajaan kepada MIC dan MCA selepas PRU15 tetapi terus senyap sehingga kini. Media melaporkan Presiden MIC meluahkan rasa kecewa kerana partinya tidak juga diberi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sementara mereka yang kalah diberikan tempat selepas Anwar menjadi Perdana Menteri.

Orang ramai pasti memahami kekecewaan dialami MIC selaku rakan setia dalam Barisan Nasional (BN) sejak dahulu. Akan tetapi, sikap dan budaya yang ditunjukkan selepas PRU15 dan menjelang PRN nanti boleh sahaja menyebabkan orang ramai semakin kecewa, menyampah dan meluat dengan sikap meminta-minta seperti anak kecil merajuk dan merengek.

Di pihak satu lagi, kita dapat saksikan pula calon-calon muda yang belum ada pengalaman sebenar dalam arena politik turut turun padang dengan janji-janji manis. Apa yang menghairankan dan melucukan, video kempen mereka yang tular di media sosial menunjukkan seolah-olah mereka sebenarnya bukan mahu menjadi ADUN tetapi mahu bertanding jawatan ahli majlis!

Apa yang dicatatkan di sini hanya sebahagian kecil pemerhatian sejak beberapa minggu lalu. Memang mengecewakan kerana budaya berpolitik dan berkempen secara matang, sihat dan bermaruah belum diamalkan secara menyeluruh.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×