KUALA LUMPUR : Selepas mengejutkan ramai peminat menerusi perkhabaran majlis pernikahannya semalam dengan Muhammad Imam Shah, 32, aktres jelita, Hannah Delisha, 25, semalam tampil membuat kenyataan maaf ekoran terpaksa merahsiakan berita gembira tersebut dengan semua pihak.
Hannah menerusi satu kenyataan rasmi menjelaskan, dia sedar pernikahannya mungkin disifatkan berlaku secara mengejut, tetapi mengaku memiliki alasan tersendiri kerana bertindak sedemikian.
“Saya minta maaf sebab menjaga privasi dan kurang selesa berkongsi hal peribadi. Memang selama ini saya tidak pernah memuat naik sebarang perihal mengenai percintaan ke dalam media sosial.
“Bagi saya, biarlah kami sudah sah dahulu sebagai suami isteri dan kemudian barulah dimaklumkan kepada semua pihak. Kami mahu dahulukan perkara yang wajib. Itu yang lebih utama,” katanya.
Hannah berkata demikian selepas mengunci mulut mengenai majlis pernikahannya yang dilaporkan telah berlangsung dan didaftarkan di Pendaftar Perkahwinan Singapura, semalam.
Difahamkan, majlis tersebut juga cuma dihadiri oleh beberapa ahli keluarga daripada kedua-dua belah pihak sahaja.
Menurut Hannah, dia mengaku sudah lama mengenali suaminya itu sejak mula dipertemukan dalam satu set penggambaran di Singapura, lima tahun lalu.
“Saya mula mengenali Imam semasa sama-sama terlibat dalam drama berepisod berjudul Faculty di Singapura dalam tempoh itu. Imam seorang yang sangat penyabar, penyayang dan kelakar.
“Dialah yang sebenarnya banyak mendorong saya untuk lebih cenderung ke arah keagamaan dan alhamdulillah apa yang anda lihat sekarang pada saya, ia sedikit sebanyak adalah hasil bimbingan daripada Imam,” katanya.
Bersyukur majlis pernikahannya berjalan lancar, kata Hannah, dia juga memohon semua pihak untuk mendoakan kebahagiaan rumah tangganya selain terus menyokong kerjaya seninya.
Dalam pada itu, menurut Hannah, dia juga merancang untuk melangsungkan majlis persandingan apabila sudah mempunyai tarikh yang sesuai.
“Saya belum boleh maklumkan tentang tarikh. Biarlah pandemik Covid-19 yang sedang menular di seluruh dunia ini tamat dahulu. Apabila keadaan kembali normal, barulah kami akan kongsi tarikh majlis bersanding.
“Insya-Allah, kami akan buat majlis secara sederhana sahaja untuk keluarga dan teman rapat,”katanya. -UTUSAN











