ALOR SETAR: Kerajaan dijangka berbelanja besar untuk mengimport bekalan ikan dari luar negara bagi menampung permintaan di pasaran berikutan industri perikanan laut dalam di negara ini berisiko lumpuh pada tahun ini.
Keadaan itu berlaku berikutan jumlah tangkapan ikan di beberapa buah negeri seperti Kedah, Perlis dan Kelantan merosot selepas kebanyakan bot laut dalam tidak beroperasi sejak Mac tahun lalu kerana tekong dan awak-awak dari Thailand dan Vietnam gagal memasuki negara ini disebabkan pintu sempadan ditutup akibat Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini semalam, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, Abdul Khadzib Bakar berkata, terdapat kira-kira 400 buah bot laut dalam di negeri ini dengan hasil tangkapan dianggarkan kira-kira 200,000 tan matrik yang bernilai RM1.5 juta sebulan.
Malah, katanya, sebahagian hasil laut dalam itu juga dibekalkan ke beberapa buah negeri termasuk eksport ke beberapa buah negara seperti China.
“Kekurangan hasil tangkapan itu juga dijangka menyebabkan berlaku kenaikan harga ikan di pasaran dan boleh membebankan pengguna ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan industri perikanan laut dalam di Kelantan lumpuh dengan pengusaha menanggung kerugian lebih RM100 juta sejak enam bulan lalu,
Pada masa ini, Khadzib berkata, hanya kira-kira 20 peratus sahaja bot laut dalam yang keluar ke laut dengan tenaga kerja yang terhad.
“Kerajaan selepas ini mungkin terpaksa mengimport lebih banyak ikan dengan kos yang tinggi untuk memastikan bekalan ikan mencukupi dan mengawal kenaikan harga ikan di pasaran,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha pertubuhan itu, Tan Chee Beng pula berkata, jumlah pekerja rakyat asing yang melakukan kerja sebagai awak-awak dan tekong di negeri ini kira-kira 2,000 orang.
Menurutnya, ketiadaan pekerja rakyat asing itu menyebabkan kebanyakan bot laut dalam tersadai di muara sungai Kuala Kedah.
“Ramai dalam kalangan pemilik bot laut dalam akan bankrap sekiranya masalah pekerja rakyat asing itu tidak dapat diselesaikan sehingga pertengahan tahun ini.
“Ini kerana kebanyakan mereka tidak dapat membayar hutang bank dan hutang-hutang lain kerana tidak mempunyai pendapatan sejak Mac tahun lalu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Chee Beng berkata, pihaknya mendesak kerajaan menerusi Jabatan Imigresen dapat membenarkan pekerja asing itu memasuki negara ini dan meluluskan permohonan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing dengan segera.
“Malah, kelulusan PLKS itu pula tidak perlu dilakukan di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, sebaliknya boleh dilaksanakan dengan bidang kuasa Pengarah Imigresen Negeri Kedah,” ujarnya. – UTUSAN










