Isu Nik Abduh: "Bagi saya itu fitnah" kata Mohd. Amar

Isu Nik Abduh: “Bagi saya itu fitnah” kata Mohd. Amar

MOHD. Amar Nik Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan sokongan rakyat di kawasan itu terhadap Pas tidak tergugat walaupun terdapat ‘seruan’ supaya beliau ditolak pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, pengundi yang menyokong Pas lebih berpihak kepada parti dan bukan bersifat individu.

“Saya yakin pengundi pun bijaksana kerana kita sokong Pas. Bagi saya isu seperti ini adalah biasa terutama ketika PRN dan kita perlu menghadapinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam tular satu video Nik Din Nik Mat yang merupakan adik kepada bekas Menteri Besar Kelantan Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu rakyat DUN Panchor ‘menghukum’ Mohd. Amar pada PRN 12 Ogos ini.

Ia susulan Mohd. Amar didakwa sebagai individu yang menyebabkan nama bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohammad Abduh Nik Mat tercicir sebagai calon wakil rakyat DUN Chempaka.

“Siapa yang dengar video ini jangan undi Nik Amar, dan kalau kita undi maknanya kita sokong kejahatan dia. Orang seperti inilah yang menyebabkan Pas punah dan jahanam,” kata Nik Din.

Dalam pada itu, Mohd. Amar menafikan terlibat dalam isu ‘menyekat’ nama Nik Abduh daripada bertanding sebaliknya nama beliau dari awal lagi tidak tercalon untuk kerusi berkenaan

“Bagi saya itu fitnah apabila mengatakan saya yang menghalang, Nik Din tidak terbabit dalam mesyuarat pimpinan parti.

“Saya tidak tahu-menahu dari mana sumber beliau mendapat maklumat sedemikian termasuk menyentuh surat daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” ujarnya dan menegaskan hubungan beliau dengan Nik Abduh berada dalam keadaan baik.

Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Majlis Syura sudah membuat tapisan terhadap Nik Abduh dan sahkan beliau layak untuk bertanding sebelum diputuskan oleh Pas negeri.

“Dalam Pas ini, saya ambil contoh syura menentukan kelayakan seseorang calon dan kita sudah buat. Kita juga menyedari dalam soal tersebut, mungkin akan timbul isu-isu berbangkit dan syura memberi kuasa kepada presiden dan timbalan presiden menanganinya,” ujar beliau.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan hasrat Mohamad Abduh untuk bertanding satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Pengkalan Chepa pada PRN tidak kesampaian kerana ditolak oleh Pas negeri.

Sementara itu, Nik Din mengambil pendekatan ‘mengunci’ mulut daripada memberikan sebarang komen semalam bagi mengelakkan situasi menjadi lebih keruh.

“Cukuplah setakat ini sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pulau Melaka hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×