Solidariti keluarga menghadapi PKP - Utusan Malaysia

Solidariti keluarga menghadapi PKP

SOKONGAN isteri kepada suami amat penting dalam menghadapi detik sukar termasuk dalam fasa PKP akibat Covid-19. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AR-RAUDHAH

Sejak pandemik Covid-19 melanda, masyarakat di seluruh dunia mengalami impak yang sangat buruk dari segala aspek.

Perkembangan ekonomi merosot, ramai orang yang dibuang kerja, perjalanan ke luar negara terhenti, sehinggakan ibadah haji dan umrah turut tidak dapat dijalankan seperti biasa.

Pergerakan dalam negara juga terbatas sehingga pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang membatasi pergerakan dalam negara.

Tidak terlepas dari musibah ini, ia turut menimpa institusi rumah tangga sehingga peningkatan masalah rumah tangga seperti perselisihan faham, penderaan, bahkan perceraian dan. Lebih menyedihkan terdapat juga yang terlibat dengan perlakuan bunuh diri disebabkan tekanan-tekanan yang dihadapi.

Sejenak kita renungi peristiwa ancaman sekatan ekonomi terhadap Rasulullah SAW untuk mengambil pengajaran dari Baginda bagi menghadapi situasi genting di negara tercinta ini.

Berpunca daripada pekembangan mereka yang memeluk agama Islam di Mekah, kaum musyrik Quraisy menggunakan segala cara untuk menghalang perkembangan dakwah ini. Mereka menawarkan harta, takhta dan wanita kepada Rasulullah agar berhenti berdakwah, namun baginda gigih memperjuangkannya.

Kaum Quraisy gagal menghalang Rasulullah dari berdakwah kerana Rasulullah mendapat perlindungan dan sokongan serta solidariti dari keluarga baginda daripada kalangan Bani Hasyim dan Bani Muttalib.

Maka, kaum Quraisy mengambil langkah untuk memecahkan sokongan Bani Hasyim dan Bani Muttalib terhadap Rasulullah untuk melemahkan perjuangan Rasulullah SAW. Maka, mereka mengambil langkah untuk melaksanakan pemulauan kepada Rasulullah SAW dan kepada sesiapa yang membela baginda termasuk keluarganya.

Dalam pemulauan tersebut kaum Quraisy membuat undang-undang larangan menikahi wanita-wanita dalam kalangan Bani Hasyim dan Bani Muttalib; membantu atau berjual-beli dengan mereka atau berdamai dengan mereka sehingga kedua-dua pihak itu menyerahkan Rasulullah SAW kepada mereka untuk dibunuh.

Deklarasi ini ditulis dan diletakkan di pintu Kaabah agar diketahui orang ramai. Bermula dari bulan Muharam tahun ketujuh dari kenabian baginda sehingga tahun ke-10.

Selama tiga tahun baginda menderita dan sengsara bersama ahli keluarganya sehingga terpaksa memakan dedaunan yang tumbuh liar di kota Mekah.

Keluarga yang memainkan peranan yang besar dalam memberi semangat kepada Rasulullah SAW dalam menghadapi situasi sulit ini adalah Siti Khadijah r.ha, isteri baginda yang tercinta.

Walaupun Siti Khadijah bukan daripada kalangan Bani Hasyim atau Bani Muttalib, tidak tergolong dalam pemulauan namun beliau enggan meninggalkan Rasulullah SAW menanggung beban sendirian. Ini kerana beliau sedar akan tanggungjawab keluarga ialah suka dan duka dihadapi bersama.

Dalam perhitungan mereka, tidak mungkin Bani Hasyim dan Bani Muttalib – ada dalam kalangan mereka yang beriman dan yang tidak beriman dengan Nabi – mereka rela bersatu dalam penderitaan dan kesengsaraan. Ternyata sangkaan mereka tersasar.

Bahkan semua keluarga besar Bani Hasyim dan Bani Muttalib memberi sokongan yang padu sebagai tanda solidariti mereka kepada Nabi SAW kecuali Abu Jahal.

Akhirnya, pemulauan itu dibatalkan setelah tiga tahun berlalu, tepatnya pada tahun ke-10 selepas kenabian.

Pada tahun yang sama juga, Siti Khadijah meninggal dunia dan baginda sangat sedih sehingga tahun itu dinamakan sebagai ‘aamul huzni (tahun kesedihan).

Daripada kisah sirah ini terdapat tiga sebab utama yang perlu diambil pengajaran dalam menghadapi kesulitan;

Pertama; yakin dan percaya bahawa Allah SWT yang Maha Kuasa mengatasi segala kesulitan.

Untuk dapat meraih keyakinan ini, hendaklah bertafakur akan ayat-ayat al-Quran dan banyak berzikir dengan penuh penghayatan sehingga dapat menyemai hati dengan meyakini kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya.

Perlu yakin setiap ujian itu, baik ujian itu kecil atau besar, ringan atau berat, pasti ada jalan keluarnya.

Firman Allah yang bermaksud: Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (at-Talaq: 3).

Kedua, sabar dan tabah serta tidak putus asa, bagi seorang mukmin kesabaran adalah kedudukan tertinggi dalam iman. Kedudukan sabar dalam iman umpama kepala pada tubuh badan, maka barang siapa yang tidak sabar maka tidak sempurna imannya.

Imam Abu Thalin Al Makki dalam kitabnya Quutul Quluub berkata; asal tingkat keyakinan itu ada tujuh, yang pertama adalah taubat dan yang terakhir adalah sabar.

Kisah pemulauan Rasulullah SAW ini memberi gambaran betapa gentingnya cabaran Nabi SAW. Selama tiga tahun dikekang oleh kaum Quraisy, tidak dapat bekerja, berniaga atau pun berjual-beli. Turut dihalang berinteraksi dengan sesiapapun.

Namun baginda tidak beputus asa, berdoa dan berharap kepada Allah SWT. Baginda memberikan kunci dalam situasi sukar seperti dihadapi oleh baginda sendiri dalam sabdanya: “Ketahuilah bahawa kemenangan akan dicapai dengan kesabaran, kesenangan akan diraih setelah kesusahan, dan setelah kesukaran akan datang kemudahan”. (Riwayat Imam Ahmad).

Ketiga, sokongan keluarga. Tidak dinafikan bahawa keluarga mempunyai peranan penting dalam menghadapi tekanan hidup. Suasana harmoni di rumah dan kata-kata semangat memberi impak yang tinggi dalam mengurangi tekanan hidup di luar.

Demikian yang dilakukan oleh Siti Khadijah dalam menemani Rasulullah SAW saat pemulauan. Keberadaan Siti Khadijah di samping Rasulullah di saat–saat sukar memberi kekuatan spiritual kepada baginda Rasulullah SAW untuk kekal semangat berdakwah di samping kekuatan keyakinannya kepada Allah SWT.

 

* HABIB ALI ZAENAL ABIDIN AL HAMID ialah Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN