HULU TERENGGANU: Hobi mengumpul barangan terbuang sejak 20 tahun lalu menjadikan rumah bekas tentera di Kampung Paloh Nyiur, di sini seolah-olah tempat pelupusan televisyen.
Abdul Manat Ibrahim, 70, berkata, sehingga kini dia memiliki hampir 100 televisyen rosak daripada pelbagai jenama dan saiz hasil sumbangan orang ramai termasuk kenalan rapat serta penduduk setempat.
Katanya, sebahagian koleksi kesayangannya itu ditempatkan di sepanjang kawasan rumah sebagai ‘pagar’ dan tidak menyangka cetusan idea tersebut menarik perhatian ramai.
“Tujuan utama saya menyusun televisyen rosak ini dua tahun lalu adalah untuk menghalang ternakan berkeliaran masuk ke rumah.
“Idea kreatif saya rupa-rupanya menarik perhatian pengguna jalan raya di laluan Kampung Matang-Kuala Telemong sehingga ada yang berhenti untuk bergambar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Abdul Manat, selain televisyen, dia mengumpul pelbagai barangan terbuang lain seperti kasut, peti sejuk, kipas, jam dinding, bot dan alat permainan kanak-kanak.
Datuk kepada lapan cucu itu berkata, walaupun pernah digelar gila suatu ketika dahulu tetapi kini hobi peliknya mulai mendapat sokongan masyarakat.
Katanya, dia tidak perlu lagi bersusah-payah mengutip atau mendapatkan barangan terbuang untuk dikumpul, sebaliknya ramai kenalan dan orang awam yang menghantarnya terus ke rumah.
“Tetapi, ada juga barangan yang saya perlu ambil sendiri dan sehingga kini lebih RM5,000 dibelanjakan bagi bayaran kos sewa lori dan jengkaut.
“Sebahagian koleksi barangan terbuang yang diletakkan di hadapan rumah seperti kipas turut dipasang pelekat pemantul cahaya bagi memudahkan urusan pemanduan pengguna jalan raya kerana laluan ini berdekatan selekoh,” katanya.- UTUSAN ONLINE










