PETALING JAYA: Misi menawan enam negeri bermula hari ini apabila 245 kerusi menjadi rebutan calon-calon parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Dianggarkan kira-kira 500 calon melibatkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas menghantar borang pencalonan masing-masing-masing hari ini.
Ini meliputi 56 kerusi Selangor diikuti 45 kerusi Kelantan, Kedah dengan 36 kerusi, Pulau Pinang (36), Negeri Sembilan (36) dan Terengganu (32).
Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 2,140 borang pencalonan bagi PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu dijual menjelang hari penamaan calon.
Beberapa nama besar turut bertanding antaranya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di DUN Chennah, kedua-duanya di Negeri Sembilan.
Enam penyandang menteri besar turut bertanding iaitu Datuk Seri Amiruddin Shari di Sungai Tua (Selangor), Datuk Seri Aminuddin Harun di Sikamat (Negeri Sembilan), Chow Kon Yeow di Padang Kota (Pulau Pinang), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Jeneri (Kedah), Datuk Ahmad Yakob di Pasir Pekan (Kelantan) dan dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Ru Rendang (Terengganu).
BEKAS MENTERI
Terdapat beberapa bekas menteri besar juga bertanding iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Hulu Kelang (Selangor), Lim Guan Eng di Air Putih (Pulau Pinang) dan dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) dan Datuk Seri Ahmad Said (Kijal).
Beberapa nama tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) turut timbul kembali antaranya Megat Zulkarnain Omardin di Gombak Setia (Selangor), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Bertam (Pulau Pinang), Datuk Seri Mahdzir Khalid di Pedu (Kedah), Datuk Seri Rina Harun di Batu Tiga (Selangor) dan Afif Bahardin di Taman Medan (Selangor).
Calon dalam kalangan profesional juga menjadi taruhan iaitu bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Haim Hilman Abdullah di Jitra (Kedah) dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Jamil Salleh yang bertanding di Dengkil (Selangor).
Nama-nama popular menjadi sebutan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet yang bertanding di Lembah Jaya (Selangor), serta dua bekas pemain bola sepak iaitu Radhi Mat Din di Alor Mengkudu (Kedah) dan Baddrol Bakhtiar di Gurun (Kedah).
KELUARGA
Terdapat juga beberapa nama yang menyambung legasi politik keluarga seperti anak kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu Muhammad Khalil yang bertanding di Batu Buruk (Terengganu), Nurul Syazwani iaitu anak Tan Sri Noh Omar di Permatang (Selangor), Danni Rais iaitu anak Tan Sri Rais Yatim di Klawang (Negeri Sembilan).
Malah, legasi Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad diteruskan isterinya, Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang bertanding di Juasseh (Negeri Sembilan) dan anaknya Mohd. Najib di Bagan Pinang (Negeri Sembilan).
Di sebalik nama-nama besar serta muka baharu dipertaruhkan, penganalisis berpandangan bahawa PH dengan kerjasama BN akan kekal menguasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala PN terus menawan Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan menyifatkan, faktor calon menjadi nilai tambah kepada parti meraih undi yang ketika ini masih banyak bergantung kepada sentimen dan persepsi.
Menurut beliau, ia dibuktikan dengan kempen PN yang tertumpu kepada sokongan pengundi Melayu manakala PH dan BN banyak menumpukan kepada pengundi Melayu dan pengundi muda terutama yang memihak kepada PN.
PERUBAHAN
“Apabila BN bekerjasama dengan PH membuatkan ada perubahan sedikit iaitu kedudukan pengundi Melayu, mereka dianggap kingmaker dan boleh mengubah keputusan PRN.
“Tarikan pengundi Melayu terhadap UMNO disangsikan kerana alternatifnya Pas dan Bersatu yang dianggap begitu menarik kerana tidak terkait dengan DAP. Ini dikatakan permainan persepsi, PH bersandarkan statistik, manakala PN perang sarafnya adalah persepsi kehadiran ceramah,” katanya ketika dihubungi.
Namun, katanya, jika BN dan PH berjaya menggabungkan jumlah undi diperoleh PRU15, mereka ada peluang lebih cerah meraih kemenangan besar dalam PRN ini.
Sebab itu, kata Azmi, PN cuba menggambarkan mereka juga ada sokongan majoriti Melayu, tetapi tidak bersandarkan statistik kerana ia tidak menyebelahi mereka.
“Misalnya, PN mengadakan ceramah besar-besaran pada waktu malam dengan jumlah kehadiran di tempat yang sememangnya mendapat sokongan. Jumlah kehadiran adalah persepsi cuba dipamerkan PN bahawa mereka ada sokongan pengundi Selangor,” katanya.
Pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berpendapat, BN dan PH akan menang di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kerana kekuatan
DAP malah berpeluang sama rata di Kedah dan Terengganu.
Namun, menurut beliau, semuanya bergantung peratusan keluar mengundi kerana kemenangan pada PRU15 tidak semestinya gabungan itu turut akan meraih kemenangan besar pada PRN.
“PH menang besar PRU14 tapi mereka kalah dalam beberapa PRK kerana peratusan undi rendah.
“Jadi, jika ramai pengundi balik, peluang BN, PH di Kedah dan Terengganu 50-50 tetapi jika tidak, mereka akan kalah,” katanya. – UTUSAN










