PUTRAJAYA: Pengurusan pendidikan Islam di negara ini diselaraskan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa itu berperanan mengawal selia sistem pendidikan Islam dan sekolah agama di Malaysia di luar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk pembangunan infrastrukturnya.
“Penyeragaman pendidikan agama sudah ada di bawah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom. Tanggungjawabnya menyelaras manakala pemantauan sekolah-sekolah agama berdaftar ini dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN),” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, pengurusan pendidikan sekolah agama di negara ini didakwa tidak seragam ekoran terdapat lebih daripada satu organisasi yang menguruskannya.

Sementara itu, Alimuddin ketika dihubungi berkata, terdapat kira-kira 4,000 institusi agama dengan lebih 600,000 pelajar merangkumi institusi pendidikan tahfiz, pondok, sekolah agama integrasi dan sekolah agama rakyat di bawah JAIN.
Jelas beliau, menerusi jawatankuasa yang dipengerusikannya itu, sekolah-sekolah di bawah JAIN dipastikan dalam keadaan paling baik, ada bajet mencukupi, guru terlatih, infrastruktur dan kurikulumnya tersusun melalui peperiksaan dan buku teks sebagaimana KPM.
“Kurikulum adalah mengikut bentuk pengajian seperti sekolah kendalian swasta mengguna pakai kurikulum DINI disediakan oleh JAIN,’’ jelasnya. – UTUSAN










