MELAKA: Kehidupan perit dilalui komposer Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, 61, bakal berubah apabila beliau ditawarkan jawatan pensyarah sambilan di Pusat Pendidikan Berterusan, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Dekannya, Profesor Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail berkata, pihaknya menawarkan jawatan tersebut kerana berasa prihatin selepas kisah pencipta lagu itu disiarkan Utusan Malaysia pada 19 dan 20 Julai lalu.
Katanya, pengalaman luas Ross dalam bidang seni selain memiliki Ijazah Sarjana Muzik dari University of Durham, England dalam bidang piano dan biola melayakkannya ditawarkan ke jawatan tersebut.
“Apabila saya terbaca di Utusan Malaysia mengenai keperitan hidup Ross, saya sangat prihatin dengan pengalaman dan bakatnya dalam bidang muzik serta penciptaan.
“Saya rasa rugi membiarkan dia hidup serba tidak menentu dan kenapa tidak kami tawarkan tempat kepadanya kerana sayangkan pengalaman yang ada padanya boleh dicurahkan kepada pelajar.
“Sebab itu timbul idea untuk mengambil Ross sebagai pensyarah di Pusat Pendidikan Berterusan dan mewujudkan bidang muzik.
“Pada mulanya kami menawarkan jawatan penuh tetapi disebabkan masalah kesihatannya, kami menawarkan jawatan pensyarah sambilan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Ross di Restoran Sangkeriau, Jalan Hang Tuah di sini.
Menurut Shahrul Mizan, hasil perbincangan, Ross bersetuju menerima tawaran tersebut dan memulakan kuliah pertamanya pada 28 Julai ini.
Katanya, sebagai permulaan UM akan menawarkan sijil profesional kemahiran bermain piano dan biola serta sijil profesional penggubahan lagu.
“Kami di Pusat Pendidikan Berterusan UM menerima dengan tangan terbuka sekiranya ada lagi insan-insan lain seperti Ross yang ingin bekerjasama dengan kami,” ujarnya.
Sementara itu, Ross berkata, dia bersyukur ditawarkan tempat sebagai pensyarah sambilan di UM.
“Ini satu penghormatan terbaik untuk saya selepas keperitan hidup saya lalui sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN











