Tiada diskriminasi negeri Pas – PM

Tiada diskriminasi negeri Pas – PM

ANWAR Ibrahim menyampaikan replika cek kepada wakil penduduk Orang Asli dalam program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Gua Musang, semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Ke­rajaan Perpaduan di bawah pimpinannya tidak pernah men­­diskriminasi negeri-negeri yang diterajui Pas.

Perdana Menteri berkata, sudah banyak peruntukan diberikan oleh Kerajaan Perpaduan kepada Kelantan dan Perlis, malah jumlah peruntukan yang pernah diberikan adalah lebih banyak berbanding Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Kelantan sering hadapi banjir, kita lulus berapa projek baharu dan jumlahnya mencecah nilai bilion ringgit. Banjir bukan salah kerajaan Pas, UMNO.

“Tetapi yang salah program tindakan untuk mengurangkan beban (banjir). Itu tanggungjawab kerajaan, jangan tiap-tiap tahun banjir kata ini ujian Allah.

“Tapi… kamu ada kerajaan, ada jentera buat sebaik mungkin kurangkan beban rakyat. Bukan gegey (bising)… hukum orang. Sebab itu saya panggil Menteri Besar dan beritahu jangan ikut sesetengah ketua,” katanya ketika berucap dalam program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Paloh 2, Gua Musang, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar berkata, Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu untuk membangun tanpa bantuan Pusat.

Katanya, Kerajaan Perpa­duan hanya menyatakan kebenaran dan bukan mahu berlagak sombong.

“Bila kita (Kerajaan Persekutuan) bagi projek, mereka kata kita tipu. Kita bagi pandangan dan bercakap mereka kata masuk neraka.

“Jangan asyik mahu hukum orang sahaja. Jadi, kita mohon kawan-kawan termasuk ustaz-ustaz yang ada dalam Pas supaya menegur pe­mimpin mereka,” ujarnya.

Anwar berkata, pihaknya turut membantu Perlis selepas Pas menjadi kerajaan di negeri itu.

Katanya, jika tidak membantu dan memberi peruntukan, mereka tidak dapat membayar gaji.

Sementara itu, Anwar mem­beritahu, semua projek yang diumumkan sebelum pilihan raya akan dilaksanakan sebagaimana yang telah dijanjikan.

Menurut Anwar, beliau tidak mahu projek yang di­umumkan itu dilupakan selepas pilihan raya berlangsung.

“Kita bukan kerajaan yang seperti itu. Umum sebelum pilihan raya lepas pilihan raya kita lupa.

“Saya tidak mahu orang anggap kita (kerajaan) bohong. Oleh itu saya akan minta semua jentera (agensi) kerajaan untuk melihat perkara tersebut,” ujarnya.

Anwar menegaskan, sekiranya ada kelewatan tentunya pegawai pegawai yang bertindak akan bertanggungjawab.

Katanya, keputusan itu selari dengan ketetapan yang telah dibuat oleh kerajaan Perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×