Selaras pendidikan sekolah agama menerusi SPM, STAM

Selaras pendidikan sekolah agama menerusi SPM, STAM

PARA pelajar di Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (Mawar) di Kepala Batas, Pulau Pinang menjalani ujian hafazan dan tilawah yang menjadi rutin para pelajar di situ.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Modul pendidikan di madrasah, pon­dok dan pusat tahfiz boleh diselaraskan dengan mewajibkan setiap pelajarnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Pengasas Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (Mawar), Ahmad Fahmi Abu Bakar berkata, pelajar terbabit juga perlu diwajibkan mengambil mata pelajaran asas meskipun mereka daripada aliran agama.

”Memang kita perlu selaraskan tahap pendidikan bagi meningkatkan mutu pendidikan sekolah tahfiz, madrasah, sekolah agama rakyat dan sebagainya dan ia boleh dilakukan menerusi satu modul khas.

”Sebagai contoh, modul khas yang mewajibkan setiap pusat tahfiz, madrasah atau institusi pondok mengambil SPM, STAM atau kalau mereka mengambil subjek agama, wajib ada mata pelajaran asas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan satu badan yang dapat mengawal selia sistem pendidikan Islam dan sekolah agama di Malaysia bagi menyeragamkan pengurusan sistem pendidikan dan sekolah berkenaan.

Presiden Ikatan Guru Gu­ru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan satu dasar yang jelas supaya dapat memperkasa sistem pendidikan Islam di negara ini.

Ahmad Fahmi berkata, setiap pusat tahfiz, sekolah agama atau institusi pengajian pondok juga perlu diberikan kebebasan untuk mempunyai sistem atau modul pendidikan mereka yang tersendiri.

“Kita harus memberi kebebasan kepada mereka bagi menjalankan modul yang mereka rasa lebih baik dan sebagainya. Cuma kita boleh selaraskan pendidikan di sana dengan wajibkan pelajarnya mengambil SPM atau STAM.

”Jadi tidak perlu ganggu sistem mereka sebab kadangkala guru yang mengajar atau mereka yang menjadi pengasas sekolah ini mereka mengajar mengikut cara yang telah diterima,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Johor menyambut baik sebarang usaha untuk menyeragamkan pendidikan agama Islam menerusi sekolah agama di negeri-negeri demi kemaslahatan ummah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid bagaimanapun berkata, setiap negeri mempunyai keunikan tersendiri dan silibus yang bersesuaian dengan persekitarannya.

“Sebenarnya, perbincangan melibatkan pengajaran di sekolah agama ada dibincangkan antara Bahagian Pendidikan Agama Islam negeri-negeri, walaupun tidak secara menyeluruh tetapi perbincangan ada berlaku.

“Walaupun tidak menyenaraikan silibus-silibus yang seragam, tetapi saya percaya topik-topik utama seperti akidah, ibadat, tauhid ataupun ajaran al-Quran adalah sama di setiap negeri.

“Namun, usaha menyeragamkan sepenuhnya silibus sekolah agama ini tidak berlaku kerana kita yakin setiap negeri mempunyai keunikan masing-masing dan kesesuaian pendidikan agama berlatarbelakangkan negeri. Oleh itu, apa yang bagus di negeri Johor mungkin ada pengubahsuaian di negeri lain,” katanya.

Mohd. Fared menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan pentadbiran agama Islam negeri-negeri sekiranya hasrat berkenaan mahu dilaksanakan pada masa depan.

“(Mungkin) kita tidak akan nampak keseragamannya tetapi kita yakin dengan mutu pengajaran dan juga kelebihan yang disediakan di peringkat negeri masing-masing. Jadi, saya raikan perkara ini.

“Namun demikian, saya serahkan perkara itu kepada kebijaksanaan pentadbiran agama Islam negeri masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×