PETALING JAYA: Larangan terhadap kenderaan barangan beroperasi pada Jumaat hingga Ahad termasuk hari cuti umum perlu dikecualikan kepada lori sarat dengan muatan sayur memandangkan sayur-sayuran adalah barangan yang mudah rosak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu melihat secara keseluruhan bukan hanya satu pihak mengenai larangan yang dikeluarkan.
“Perkara ini menjejaskan pengusaha dan petani di Cameron Highlands kerana sayur bukan barangan yang tahan lama dan tidak boleh ditangguh perjalanannya menuju ke destinasi mereka.
“Perkara ini memberi kesan kepada rantaian makanan seterusnya kepada semua pihak bermula petani, pengusaha, pemborong dan akhir sekali pengguna,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, kira- kira 300 metrik tan sayur-sayuran di pusat peranginan Cameron Highlands berdepan risiko layu dan hilang kesegaran untuk dipasarkan.
Ini susulan larangan terhadap kenderaan barangan beroperasi pada Jumaat hingga Ahad termasuk hari cuti umum bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang oleh JKR yang bertujuan mengurangkan kesesakan pusat peranginan itu.

Menurut Rosli, JKR perlu menyelidik secara mendalam sebelum mengeluarkan arahan supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak serta mencari alternatif lain bagi memastikan sayuran dapat dibawa turun dari pusat peranginan itu tepat pada waktunya.
“Saya cadangkan lori yang sarat dengan muatan sayur-sayuran atau barangan yang tidak tahan lama dikecualikan daripada larangan yang dinyatakan JKR.
“Jika barangan kering tidak kisah kerana kita tahu barang tu akan tahan lama. Sayur dan buah tidak akan tahan lama serta cepat rosak jika tidak dikendalikan dengan segera,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, larangan terhadap kenderaan barangan komersial pada waktu dan hari tertentu tidak efektif dan hanya mengakibatkan kerugian kepada pengusaha serta pengguna.
“Jika pengusaha sayur mengalami kerugian yang banyak ia menyebabkan rantaian makanan di seluruh negeri terganggu dengan kekurangan bekalan sayur yang segar dan menyebabkan pengguna tidak puas hati.
“Jika sayur rosak, bekalan menjadi kurang dan menyebabkan harga sayur naik mendadak seterusnya pengguna menjadi mangsa keadaan,’ katanya.
Menurut Nur Asyikin, kerajaan perlu fikirkan tentang pengguna juga kerana jika perkara ini berlaku, ia memberi kesan kepada harga bahan mentah.
“Saya harap JKR fikir dan lihat kembali sama ada larangan yang dibuat tersebut menjadi atau akan menyusahkan lagi banyak pihak. Carilah alternatif lain supaya tiada siapa yang rugi dan terkesan,” katanya. – UTUSAN










