UMUR persaraan penjawat awam di negara ini sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 23 tahun. Pada 2001, had usia persaraan dilanjutkan daripada 55 kepada 56 tahun.
Seterusnya, dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun pada 2008, dan sekali lagi mengalami perubahan daripada 58 kepada 60 tahun (2012). Umur persaraan 60 tahun ini kekal walaupun terdapat permintaan pihak tertentu supaya kerajaan meminda kepada 62 atau 65 tahun.
Namun, pastinya tanpa mengira had umur persaraan wajib, yang penting ialah bagaimana seseorang dapat menikmati kehidupan persaraan dengan selesa.
Ini kerana sememangnya pelbagai cabaran menanti dalam menempuh persaraan seperti kesihatan, ekonomi dan literasi kewangan serta persediaan mental dan sosial.
KESIHATAN
Penjawat awam dan pesara kerajaan amat beruntung kerana sehingga kini, kerajaan masih menanggung segala rawatan kesihatan yang diperlukan di fasiliti kesihatan kerajaan. Pekeliling dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan turut membenarkan pembelian peralatan perubatan sehingga ratusan ribu ringgit tertakluk kepada terma dan syarat.
Namun, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Warga pesara yang rata-rata telah berusia perlu mengetahui diet pemakanan sesuai dan sihat, senaman atau aktiviti fizikal selari dengan usia dan kemampuan diri bagi memastikan sentiasa mempunyai kesihatan baik serta mengurangkan risiko penyakit kronik.
EKONOMI, LITERASI KEWANGAN
Perbelanjaan perlu dirancang dan dikawal. Menurut Pakar Sikap Kepenggunaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Laily Paim, keadaan kewangan pengguna menjadi bertambah buruk apabila mereka memiliki tahap literasi kewangan rendah.
Walaupun mempunyai wang pencen secara bulanan, tidak bermakna pesara tersebut boleh bersara dengan selesa sekiranya masih terbeban dengan hutang bagi menyara gaya hidup dengan kos tinggi, terjerat dalam skim penipuan seperti Macau Scam serta pelaburan lain yang tidak menguntungkan malah salah di sisi undang-undang.
Apabila bersara, penjawat awam menerima wang ganjaran perkhidmatan dan ganjaran wang tunai gantian cuti rehat mengikut formula perkiraan tertentu. Wang ini boleh digunakan oleh pesara untuk tujuan tertentu seperti meluaskan pandangan (melancong), membeli hartanah/rumah atau memulakan perniagaan dan sebagainya.
Ramai pesara memilih untuk memulakan perniagaan bagi menampung kekurangan pendapatan dan ramai juga mengalami kegagalan dalam perniagaan yang baru diceburi berikutan kekurangan pengetahuan serta latihan dalam bidang itu. Pembentukan minda usahawan bukan suatu perkara mudah tetapi penting dan perlu dimiliki bakal pesara yang berhasrat menjalankan perniagaan apabila bersara kelak.
Latihan untuk memulakan perniagaan, kemahiran mahupun pengurusan boleh diberikan kepada penjawat awam yang berumur 45 tahun dan ke atas bagi memastikan kesediaan mereka untuk memulakan perniagaan apabila bersara kelak.
Pesara juga boleh menukarkan hobi menjadi sumber pendapatan. Sebagai contoh, penjawat awam berminat dalam pertanian yang dahulunya menanam cili secara kecil-kecilan boleh mengembangkan minat tersebut untuk menjana pendapatan dengan membangunkan tanaman berskala besar menerusi latihan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian yang sentiasa bersedia membantu pekebun kecil yang berminat.
Selain itu, kemahiran seperti membuat kek, menjahit, memasak juga boleh dikembangkan untuk menjana pendapatan.
Pesara juga perlu tahu bagaimana menguruskan pewarisan harta apabila meninggal dunia. Walaupun perkara ini kurang digemari untuk dibincangkan, namun pengetahuan dan pengurusan adalah perlu bagi memastikan balu atau waris tidak mengalami kesulitan atau lewat mendapat manfaat setelah pesara meninggal dunia.
PERSEDIAAN MENTAL, SOSIAL
Persediaan mental untuk menghadapi persaraan ini juga berkait rapat dengan pengurusan kesihatan dan kewangan serta mempunyai ahli keluarga yang mungkin bertambah ramai. Persediaan mental ini penting bagi mengelakkan tekanan tidak perlu yang boleh menjejaskan kesihatan.
Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menggariskan empat aspek utama perlu dikuasai sebagai persediaan psikologi menuju persaraan, iaitu pengurusan emosi, pengurusan masa dan prioriti, pengurusan kesihatan minda serta pengurusan tekanan (stres).
Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), JPA selaku peneraju pembelajaran dalam perkhidmatan awam turut menyediakan wadah latihan kepada bakal pesara demi memastikan mereka dapat menempuh hari persaraan dengan positif.
Agensi awam juga perlu memastikan setiap warganya khusus yang akan bersara dalam tempoh lima tahun lagi menerima pendedahan dan latihan sewajarnya sebagai persediaan menghadapi persaraan. – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Unit Latihan Pasca Perkhidmatan, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).











