DALAM artikel saya yang lepas telah membincangkan tentang kelembapan ekonomi semakin dirasai berdasarkan data-data terkini diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia khususnya Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI). Saya berpendapat, kerajaan perlu menyegerakan satu pakej rangsangan ekonomi dengan menyediakan rangsangan fiskal dan menghalang penurunan lebih lanjut dalam pengeluaran ekonomi.
Saya juga terkesan dengan keluhan para pengguna mengenai kenaikan harga barangan yang dilihat semakin meningkat. Saya berharap kerajaan dapat merangka langkah-langkah dan strategi segera untuk memastikan harga barangan tidak terus membebankan para pengguna.
Salah satu tindakan segera yang harus diutamakan oleh kerajaan dalam mendorong pasaran ekonomi domestik yang berdaya saing adalah memastikan wujudnya budaya persaingan sihat. Ini bagi menangani amalan antipersaingan seperti kewujudan kartel dan penyalahgunaan kuasa dominan dalam pasaran.
Pada 2010, ketika mengemudi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, saya membentangkan dan mendapat kelulusan Parlimen bagi mewujudkan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010. Akta tersebut yang dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memainkan peranan penting memupuk persaingan sihat dalam ekonomi domestik.
Akta ini juga memastikan perniagaan dapat bersaing secara adil dan pengguna mempunyai akses kepada pelbagai pilihan seterusnya membuka ruang kepada harga lebih rendah, peningkatan kualiti produk dan peningkatan kesejahteraan pengguna.
Akta Persaingan 2010 mempunyai dua larangan utama, iaitu larangan terhadap perjanjian antipersaingan atau lebih dikenali sebagai larangan terhadap perjanjian kartel sesama peniaga dan larangan terhadap penyalahgunaan kuasa dominan pasaran. Kewujudan aktiviti kartel dan penyalahgunaan kuasa dominan pasaran ternyata memberi kesan negatif kepada persaingan. Ia juga menyekat aktiviti perniagaan terutama peniaga-peniaga kecil untuk bersaing secara sihat dalam pasaran negara.
Sekiranya pesaing-pesaing menjual barangan atau perkhidmatan pada harga berbeza, maka pengguna boleh memilih untuk membeli daripada pesaing yang menawarkan pilihan barangan lebih kualiti dengan harga lebih rendah. Ini mewujudkan satu kekangan terhadap peniaga-peniaga daripada menaikkan harga barangan atau perkhidmatan kerana dikhuatiri pengguna akan beralih kepada peniaga lain yang menawarkan harga lebih rendah sekiranya mereka menaikkan harga. Sebagai contoh, lihat bagaimana kartel yang menguasai perusahaan industri ternakan ayam memanipulasi pasaran untuk kepentingan mereka pada tahun lalu.
Saya telah mengarahkan MyCC menjalankan siasatan terperinci mengenai kegiatan kartel pada Mei 2022. Agensi penguat kuasa ini berjaya mengesan lima syarikat pengeluar makanan ayam menjadi kartel menaikkan kuantum harga makanan ternakan itu yang melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010. MyCC memberikan masa kepada kartel terbabit sehingga penghujung tahun lalu untuk memberikan bukti mereka tidak terlibat dengan aktiviti tersebut.
Bagaimanapun, tidak diketahui apa yang terjadi selanjutnya terhadap siasatan ini kerana tampuk pemerintahan negara telah bertukar tangan. Apakah status terkini tentang isu kartel?
DENDA
Berdasarkan kajian terbaharu dijalankan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) di negara Kesatuan Eropah (EU), impak negatif daripada aktiviti kartel menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat sehingga 25 peratus. Maka, kelompangan tersebut memberi ruang kepada MyCC menjalankan fungsi utamanya bagi membanteras amalan-amalan antipersaingan dan memastikan persaingan sihat terus wujud di pasaran.
Sebagai individu yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan akta ini, saya sentiasa mengikuti perkembangan serta berita-berita penguatkuasaan terkini dijalankan MyCC. Syabas saya ucapkan kepada MyCC kerana dilihat gigih dalam usaha membanteras amalan antipersaingan di negara ini. Antara contoh kejayaan MyCC adalah pada 2021, denda dikenakan sebanyak RM1.54 juta terhadap lapan syarikat melibatkan perolehan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) yang didapati menjalankan aktiviti tipuan bidaan bagi satu tender perolehan di sebuah agensi kerajaan.
Bagaimanapun, dua berita membabitkan keputusan mahkamah membatalkan denda terhadap tiga syarikat konglomerat pada 6 Julai 2023 dan 9 Februari 2022 atas kesalahan antipersaingan menunjukkan ada kelemahan serius di MyCC yang perlu dibaiki dengan segera oleh kerajaan. Antara alasan penghakiman ialah ketidakwajaran prosedur denda dicadangkan oleh agensi penguat kuasa itu tidak disokong oleh proses penyiasatan sewajarnya.
Kebimbangan mengenai kejelasan dan kebolehpercayaan proses membuat keputusan MyCC yang dikatakan kurang telus serta proses penyiasatan terlalu lama dan kurang berkesan menjadi kritikan utama terhadap aktiviti MyCC sehingga kini. Perkara ini terjadi disebabkan MyCC menghadapi pelbagai kekurangan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Justeru, kerajaan harus memberi lebih penekanan terhadap aktiviti MyCC seperti menempatkan pakar-pakar mahir dan profesional dalam organisasi serta struktur penguatkuasaan MyCC yang lebih berkesan dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010. Bukan itu sahaja, Akta Persaingan 2010 juga perlu dipinda bagi memastikan undang-undang persaingan negara lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa.
Proses pindaan tersebut dimulakan ketika pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia dan saya berharap tindakan tersebut diteruskan oleh kerajaan hari ini. Pindaan ini memberikan MyCC kuasa untuk menilai dan menyiasat transaksi penggabungan yang berpotensi menyebabkan penumpuan pasaran dan boleh menjurus kepada monopoli oleh kartel.
Kartel akan mengambil apa sahaja kesempatan yang ada untuk mencipta alasan khususnya berkaitan keadaan semasa di peringkat global bagi meraih keuntungan sebanyak mungkin. Mereka adalah antara penyumbang kenaikan harga barangan dan golongan ini tidak peduli akibat yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.
Justeru, kerajaan perlu mengambil tindakan holistik bagi memastikan pasaran domestik yang kompetitif dan seterusnya dapat memberikan manfaat positif kepada kita semua sebagai para pengguna. Harga barang harus dikawal melalui pelbagai kaedah dan intervensi berterusan kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup. – UTUSAN
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.











