Fadlan Hazim rancang timang cahaya mata

Fadlan Hazim rancang timang cahaya mata

PELAKON Fadlan Hazim bersama isterinya, Aiya Mukhamedsalova ketika majlis pernikahan mereka di Masjid Wilayah Persekutuan, 16 Julai lalu. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Fadlan Hazim, 31, merancang untuk menimang seorang cahaya mata bersama isterinya yang juga wanita asal Kazakhstan, 29, Aiya Mukhamedsalova.

Menurut Fadlan atau nama lengkapnya Fadlan Hazim Anuwar, hasrat itu sesuai dengan keadaannya yang harus ulang alik antara Malaysia dan Kazakhstan selepas berkahwin.

“Hubungan saya dan Aya macam kawan-kawan. Dia tidak memberikan tekanan kepada saya. Begitu juga dengan saya. Kami bebas.

“Selepas berkahwin, mungkin seorang anak sudah mencukupi sebab mudah untuk travel ulang-alik Malaysia dan Kazakhstan,” katanya.

Walaupun sudah bergelar suami, karier lakonan pelakon Ijab Kabul itu tidak berubah.

Mujurlah, Aya memahami jadual kerjayanya yang padat dan tidak mudah cemburu apabila bergandingan dengan pelakon wanita yang lain.

“Kerjaya lakonan saya akan berjalan seperti biasa walaupun selepas kahwin. Saya hanya bercuti empat hari kemudian akan sambung penggambaran.

“Awalnya Aya cemburu juga. Tapi dia faham setelah saya terangkan tentang pekerjaan saya. Lagipula saya memang menjaga batas ketika di set penggambaran,” tambahnya.

Fadlan sah bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita asal Kazakhstan, 29, Aiya Mukhamedsalova di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam majlis yang dihadiri keluarga dan teman rapat itu, Fadlan menyerahkan sebentuk cincin bersama lima dulang hantaran kepada pengantin perempuan.

Walaupun berbeza budaya, Fadlan berkata itu bukanlah penghalang untuknya disatukan dengan pasangan pilihan.

Sebelum ini, Fadlan dan Aya mengikat tali pertunangan pada 1 Oktober 2022. Fadlan sempat menjalani ujian ‘kelelakian’ mengikut tadiri dan budaya masyarakat Kazakhstan.

“Antara yang perlu saya lakukan adalab berjalan atas paku, menunggang kuda dan minum susu kuda.

“Saya juga dibawa mendaki gunung dalam keadaan suhu yang amat sejuk. Bayangkan saya perlu mendaki gunung tanpa memakai baju tebal,” ceritanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×